Saya PM daripada BN, serang saya bermakna melemahkan kepimpinan BN – Ismail Sabri

KOTA KINABALU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau adalah Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN), justeru sebarang tindakan menyerangnya bermakna melemahkan kepimpinan gabungan politik itu.

Ismail Sabri berkata beliau juga adalah Perdana Menteri yang memimpin Kerajaan Persekutuan pada masa ini dan sebarang perbuatan menyerang kerajaan adalah umpama menyerang kerajaan pimpinan BN.

“Sebenarnya malam ini saya tidak berucap, sepatutnya saya diberi slot esok (di Konvensyen BN Sabah) tetapi saya minta maaf tidak dapat hadir… saya berucap malam ini walaupun lima minit sebab dah ada orang kata Perdana Menteri disekat daripada berucap di Konvensyen BN Sabah.

“Apa berlaku malam ini jelas menunjukkan bahawa pihak di luar sedang cuba memecahbelahkan perpaduan sesama kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ahli Dewan Tertinggi BN Bersama Kepimpinan BN Sabah di Bangunan UMNO, Karamunsing di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ismail Sabri berkata ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hangat diperkatakan, pihak luar semakin rancak cuba memecahbelahkan perpaduan dalam BN.

Justeru, beliau mengingatkan semua ahli BN supaya sentiasa berusaha ke arah merapatkan perpaduan sesama sendiri serta meletakkan fokus yang jelas untuk menentang pembangkang dan bukan menyerang sesama sendiri.

“Jadi, apa sebab kita menyerang sesama sendiri kecuali kita nak berperang sesama sendiri dalam pemilihan parti. Sebab itulah pembunuhan karakter berlaku sebab kita nak ‘bunuh’ sesama sendiri kerana akan berlaku pertandingan sesama kita.

“Tetapi apabila kita sudah tentukan tidak akan berlaku pertandingan sesama kita tetapi akan berlaku PRU dulu, patut fokus kita mesti ke arah PRU, bila PRU itu kita akan bincang, saya akan bincangkan dengan kepimpinan tertinggi UMNO, bincang dengan kepimpinan BN, waktu itu kita putuskan,” katanya. -SBN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *