Sabah belanja RM1.479 bilion peruntukan RP2 RMKe-12

KOTA KINABALU: Sabah membelanjakan RM1.479 bilion atau 28.15 peratus daripada RM5.254 bilion peruntukan bagi 1,098 projek yang diluluskan dalam Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sehingga 12 Jun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata jumlah itu tidak jauh beza berbanding prestasi nasional yang kini mencapai 36.8 peratus jumlah peruntukan yang sudah dibelanjakan menerusi rancangan pembangunan berkenaan.

Beliau bagaimanapun berharap kerajaan Sabah dapat mengatasi prestasi nasional dengan melipatgandakan lagi pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya mahu semua kementerian dan agensi memberi perhatian dan tindakan susulan dalam memastikan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual agar kita dapat mengatasi prestasi nasional.

“Mana-mana peraturan yang tidak berkesan, cari kaedah baharu agar pelaksanaan dapat dibuat secepatnya. Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan ini digunakan sebagai satu platform untuk berkongsi maklumat bagi membincang dan mendapatkan jalan penyelesaian kepada isu pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Kali Kedua, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah I yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Dr Joachim Gunalam dan barisan menteri Kabinet negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata perlu ada satu penyelarasan di antara semua jabatan dan agensi persekutuan serta negeri yang terbabit dalam pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah.

Katanya, perkara itu penting agar kerajaan negeri tahu kawasan dan agensi yang terbabit dalam pembinaan projek PPRT di negeri ini.

“Ia penting kerana keperluan untuk rumah PPRT di Sabah amat banyak. Justeru, saya meminta kepada pihak yang berkaitan agar sampaikan hasrat kerajaan negeri mengenai keperluan rumah PPRT di negeri ini.

“Saya dimaklumkan sebanyak 710 rumah PPRT akan dibina pada tahun ini di Sabah tetapi sebenarnya, jumlah ini tidak cukup kerana kita meminta sebanyak 2,000 unit, hanya 710 yang diluluskan.

“Kerajaan negeri bagaimanapun akan terus menuntut untuk mendapatkan lebih banyak lagi PPRT dibina di Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 69 projek sakit dilaporkan di Sabah ketika ini yang perlu diberi perhatian serius oleh agensi atau jabatan yang terbabit.

Katanya, jika ia disebabkan jabatan atau agensi kerajaan negeri, beliau menggesa agar mereka tidak melambat-lambatkan projek daripada kerajaan persekutuan selain memberi kerjasama yang sepatutnya kerana setiap projek seperti pembinaan sekolah atau hospital adalah untuk rakyat.

“Jika pembayaran lambat, kita akan usahakan dan jika kontraktor yang bermasalah, tindakan perlu diambil. Saya juga minta kuasa diturunkan kepada pegawai persekutuan di Sabah, jika ia membabitkan projek daripada persekutuan.

“Ini bagi mempercepatkan keputusan dibuat dan projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *