Cadang wujudkan perkampung filem mini, pusat sehenti untuk syarikat produksi filem

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah bercadang untuk mewujudkan perkampungan filem mini berkonsepkan Borneo tahun 1850-an bagi meningkatkan industri pelancongan di negeri itu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dalam satu kenyataan media berkata cadangan terbabit timbul susulan pertemuannya dengan sebuah syarikat produksi filem tempatan yang diketuai penerbit telemovie Chester Pang bersama pengarahnya, Ramli Carlo, baru-baru ini.

Katanya, dalam pertemuan terbabit pihaknya juga membincangkan pusat sehenti untuk syarikat produksi perfileman tempatan dan antarabangsa bagi memudahkan kru produksi terbabit menjalankan penggambaran di Sabah.

“Kita mengalu-alukan cadangan tersebut bagi membantu meningkatkan industri pelancongan Sabah.

“Sebagai contoh, perkampungan filem bukan sahaja dapat menjadi set penggambaran untuk syarikat penggambaran, malah dapat menyediakan peluang pekerjaan dari segi pembinaan atau pengubahsuaian set penggambaran, penginapan, penyediaan makanan untuk krew penggambaran dan sebagainya.

“Selain itu, ia juga dapat menjadi pusat tarikan pelancong pada masa ketiadaan penggambaran.

“Berkenaan pusat sehenti untuk syarikat luar yang ingin membuat penggambaran di Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) boleh memainkan peranan sebagai fasilitasi,” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, Joniston yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kiulu itu turut berkata sebuah syarikat produksi filem tempatan memutuskan untuk memilih Kiulu sebagai lokasi penggambaran telemovie ‘Kusai-Lelaki Dusun Terakhir’ bermula minggu hadapan.

Mengulas lanjut, telemovie Kusai itu msngisahkan seorang anak muda bernama Kusai memilih untuk tinggal di kampung dan mengusahakan kebun buah-buahan peninggalan arwah ibu bapanya.

Rakan karib Kusai sejak zaman kanak-kanak, Leleng kemudiannya pulang untuk membuat tugasan kolej tahun akhir berkaitan potensi pelancongan di daerah Kiulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *