Sabah peruntuk RM4 juta turap Jalan Salimpodon Mantus di Pitas
PITAS: Kerajaan Sabah meluluskan peruntukan RM4 juta untuk melaksanakan projek penurapan Jalan Salimpodon Mantus, di sini bagi menyediakan kemudahan jalan raya lebih efisien kepada lebih 1,500 penduduk di kampung berhampiran.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata projek penurapan jalan raya itu juga diyakini mampu meningkatkan jaringan perhubungan dan taraf sosioekonomi penduduk termasuk menjimatkan masa perjalanan beberapa kampung ke pekan Pitas.
“Projek penurapan jalan raya ini akan memberi manfaat kepada penduduka di Kampung (Kg) Solimpodon Mantus, Solimpodon Darat dan beberapa kampung sekitarnya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pecah tanah penurapan jalan raya di kampung berkenaan di sini, hari ini.
Jalan Solimpodon Mantus terletak kira-kira 16 kilometer dari pekan Pitas dan merupakan jalan penghubung penduduk Kg. Solimpodon Mantus ke jalan utama Pitas-Kota Marudu (Jalan Langkon Pitas), dengan keadaan jalan raya masih batu kelikir dan tanah laterit.
Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah turut melancarkan projek wifi “Connect Me Now” di Kampung Mantus, sebagai usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membantu rakyat pedalaman untuk menikmati kemudahan internet.
Program kendalian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu turut merangkumi Program Pemasangan VSAT, dan setakat ini, projek “Connect Me Now” di kampung berkenaan adalah yang keempat dilaksanakan oleh kementerian terbabit.
Program itu turut dilaksanakan di Kampung Walahu, Ranau; Kampung Gana, Papar; dan Kampung Kumawanan, Tambunan.
Kerajaan GRS juga merancang untuk VSAT di 501 kawasan yang telah dikenal pasti di seluruh Sabah secara berfasa mulai tahun ini.
Terdahulu, dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, Hajiji berkata kerajaan akan membina 13 lagi menara telekomunikasi di daerah ini, dengan satu daripada siap dibina, manakala empat lagi sedang dalam pembinaan.
“Kita menjangkakan lapan lagi menara akan selesai sepenuhnya menjelang awal tahun depan. Kita mahu rakyat terutamanya anak-anak yang masih bersekolah akan dapat kemudahan internet sebaiknya,” katanya
Hajiji yang julung kali mengadakan lawatan kerja ke Pitas sebagai ketua menteri turut mengumumkan peruntukan bagi menaik taraf jalan berhampiran Dewan Masyarakat Pitas kepada jalan raya berturap dan membina jambatan di Kampung Pondoi Kusilad yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri Bengkoka.