Guru cemas, anak hampir maut tertelan kerongsang

TAWAU : Seorang guru wanita mengalami detik cemas selepas anak bongsunya berumur satu tahun hampir maut tertelan kerongsang berukuran satu inci baru-baru ini.

Nurul Asmah Nordin, 35, berkata pada hari kejadian anaknya Aleef Rizqi Erwansyah tidak menunjukkan sebarang tanda semasa bangun pagi dan dilihat aktif bermain bersama kakaknya di ruang tamu.

“Manakala saya pula sedang bersedia untuk melakukan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) kira-kira jam 7 pagi.

“Saya hanya menyedari semasa memberikannya susu dan Aleef muntah sebanyak tiga kali, namun bukan dalam bentuk susu tetapi lendir yang pekat,”katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Aleef juga menunjukkan reaksi mual beberapa kali, seolah-olah mahu memuntahkan sesuatu sebelum segera mengejutkan suami untuk ke Hospital Tawau.

“Berdasarkan pemerhatian awal doktor, tiada perkara serius berlaku ke atas Aleef menyebabkannya dimasukkan ke Zon Hijau untuk rawatan.

“Namun, naluri saya mengatakan ada sesuatu tidak kena pada Aleef apatah lagi jika mengenangkan muntah Aleef pada awal pagi itu,”katanya.

Nurul Asmah berkata, selepas pemeriksaan X-Ray dilakukan, kami dikejutkan dengan penemuan objek asing antara saluran pernafasan dan esofagus.

“Keadaan menjadi genting semula selepas mengetahui objek tersebut adalah kerongsang dan Aleef dipindahkan ke Zon Merah untuk rawatan segera,” katanya.

Katanya lagi, berdasarkan situasi yang berlaku, doktor memaklumkan berkemungkinan Aleef perlu dihantar ke Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur memandangkan tiada kepakaran berkaitan di Hospital Tawau.

“Ketika itu, hanya Allah sahaja tahu bagaimana perasaan kami kerana bimbangkan keselamatan Aleef.

“Hampir satu jam 30 minit menanti, akhirnya pembedahan Aleef berjaya dilakukan dan kerongsang itu dapat dikeluarkan,”katanya.

Menurut Nurul Asmah, anak bongsu mereka itu memang gemar memasukkan objek asing dalam mulut.

“Biasanya saya menyedari awal perkara itu, namun, apa yang berlaku pada hari tersebut di luar jangkauan.

“Saya tidak pasti bila kejadian (tertelan kerongsang) itu berlaku, selain Aleef masih beraksi seperti biasa seolah-olah tiada apa yang menimpanya,” katanya.

Nurul Asmah mengucapkan terima kasih kepada pegawai perubatan Hospital Tawau kerana bertungkus lumus menyelamatkan anaknya.

“Saya berharap kejadian yang menimpa kami jadi pengajaran kepada orang lain untuk tidak mengambil ringan soal kesihatan anak,”katanya. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *