Kerajaan negeri Sabah serah 177 geran kepada agensi Persekutuan
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah menyerahkan sebanyak 177 geran tanah seluas 1,933.09 hektar kepada agensi Persekutuan bagi pembinaan sekolah, hospital, balai polis, balai bomba dan kemudahan lain di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pemberian geran tanah itu merupakan bukti komitmen pihaknya untuk memastikan semua rakyat di negeri ini mendapat manfaat pembangunan.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis penyerahan geran yang diadakan bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Bernard Liew Chau Min berkata, semua cukai tanah dan sewa premium untuk kesemua 177 geran berkenaan sudah diselesaikan sepenuhnya oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kepada kerajaan negeri.
“Penyerahan tanah untuk penggunaan agensi persekutuan sesuai dengan Artikel 83 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dari 177 geran tanah, 90 adalah untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 42 untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , 28 untuk Kementerian Pengangkutan dan 17 lagi untuk agensi lain yang berkaitan.
Dalam majlis terbabit, Hajiji menyerahkan geran tanah berkenaan kepada Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor yang mewakili Kementerian Pengangkutan, KPM diwakili oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin manakala KKM diwakili oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Jackson Taguah.