Polis naik kereta api agih bakul makanan

Tenom: Kereta api adalah satu-satunya cara perhubungan bagi penduduk di perkampungan terpencil Pangi di sini untuk keluar ke pekan Tenom.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan penduduk di kawasan pedalaman itu semakin sukar bergerak termasuk menjual hasil pertanian mereka.

Namun kesukaran penduduk terbabit mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tampil membantu 20 ketua isi rumah di Kampung Pangi, semalam.

Bantuan berkenaan disampaikan melalui Op Bantu yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais berkata, program Op Bantu kali ini berbeza dengan program sebelum ini kerana terpaksa menggunakan kereta api untuk sampai ke Pangi.

Katanya, pihak PDRM sudah tiga kali bercadang untuk datang ke kawasan berkenaan namun terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca yang kurang baik selain jalan sukar dilalui.

“Namun akhirnya hari ini kita berjaya menyampaikan 20 bakul makanan kepada 20 keluarga di sini.

“Keseluruhan penduduk dibantu adalah petani yang terjejas pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 ini,” katanya selepas menyampaikan bakul makanan di Stesen Keretapi Pangi di sini, semalam.

Yusuh berkata, ketiadaan liputan rangkaian telekomunikasi di kawasan itu juga menjadi faktor kesukaran penduduk mendapatkan bantuan.

“Pangi berbeza dengan tempat-tempat lain kerana ketiadaan rangkaian telekomunikasi menyebabkan penduduk tidak dapat membuat panggilan atau melalui WhatsApp bagi mendapatkan bantuan.

“Oleh demikian, dengan kerjasama Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kita menerima maklumat berhubung mereka yang terjejas sebelum tapisan dibuat dengan membuat pemantauan bagi memastikan mereka benar-benar memerlukan bakul makanan,” katanya.

Sementara itu, Suina Taim, 46, melahirkan rasa bersyukurnya kerana terpilih untuk menerima bantuan itu, malah katanya ini adalah kali pertama mendengar program Op Bantu daripada pihak PDRM.

“Selalunya mereka menjalankan tugas banteras jenayah dan menjaga keselamatan penduduk tetapi ini kali pertama tampil dengan Op Bantu.

“Kami sememangnya terjejas pada ketika ini disebabkan sukar untuk menjual hasil tani serta getah di pekan Tenom.

“Jadi dengan adanya bantuan seumpama ini, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu kami tidak perlu turun ke pekan untuk mendapatkan beras dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

#kw kereta api, polis, bakul, makanan, agih, Tenom

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *