PICKids : Sikap Tunggu Dan Lihat Punca Kadar Pengambilan Vaksin Rendah

KOTA KINABALU : Sikap tunggu dan lihat mengenai keperluan pengambilan vaksinasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di negeri ini dikenal pasti menjadi antara punca kadar pencapaian penerimaan vaksin masih rendah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, Sabah kini berada ditangga ketiga terbawah di seluruh negara dengan peratusan sebanyak 17.50 peratus yang direkodkan sehingga semalam.

“Untuk negeri Sabah, pencapaian kita masih rendah dimana pada awalnya kita sasarkan sebelum pembukaan sekolah sebanyak 50 peratus golongan kanak-kanak telah menerima vaksin yang berusia lima hingga 11 tahun.

“Namun sehingga semalam,saya dimaklumkan kita baru mencapai sekitar 17.50 peratus bagi Sabah dan kedudukan negeri ini berada di tiga terbawah kalau dari segi rangkaian kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Kampung Angkat Pergigian Daerah Putatan disini hari ini.

Shahelmey berkata, sehingga kini tiada laporan berhubung kesan sampingan yang serius berlaku dikalangan kanak-kanak yang menerima vaksin menerusi PICkids yang dilaksanakan sejak 3 Februari lalu.

“Sekali lagi saya selaku Exco Kesihatan negeri Sabah menyeru kepada ibu bapa untuk terbuka minda, terbuka hati demi keselamatan anak-anak yang akan kembali ke sekolah pada 21 Mac nanti.

“Sebagai mana yang kita ketahui, kes-kes jangkitan COVID-19 terhadap kanak-kanak yang belum menerima vaksin juga berada pada kadar yang agak tinggi dan meningkat,” katanya. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published.