200 peserta SIWE 2022 di SICC

KOTA KINABALU: Seramai 200 peserta menyertai Expo Usahawan Wanita Antarabangsa Sabah (SIWE 2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) di sini, hari ini.

Mereka yang mengambil bahagian dalam SIWE 2022 adalah daripada pelbagai perkhidmatan dan produk dari Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Johor dan Terengganu.

Expo kali kedua itu dianjurkan oleh Persatuan Industri Kecil Sederhana Usahawan Wanita Bumiputera Sabah (IKSnita Sabah) dan dirasmikan oleh isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag.

Expo selama tiga hari itu diadakan bertujuan memperkasa potensi golongan wanita sebagai usahawan bergerak maju ke depan, dalam merancakkan ekonomi keluarga dan negara, selaras dengan hala tuju ‘Sabah Maju Jaya’.

Juliah yang juga Yang di-Pertua MUTIARA Gabungan Rakyat Sabah turut meluangkan masa melawat booth pameran pelbagai produk dan perkhidmatan.

Antara agensi kerajaan yang turut serta dalam expo itu ialah Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah, Lembaga Koko Malaysia dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang.

Turut serta ialah Mintred Sarawak, Lembaga Pertubuhan Peladang Kedah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa agensi lain. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *