Peruntukan kecemasan RM150 juta telah diluluskan untuk membaiki jalan raya rosak

PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah meluluskan peruntukan segera untuk membaiki 41 jalan yang rosak berikutan hujan berterusan yang melanda seluruh negeri sejak dua minggu lepas.

Di samping itu, kerajaan negeri juga akan memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih semua infrastruktur di bawah bidang kuasa persekutuan.

Menurutnya, semua jabatan yang terlibat telah diarahkan untuk mempercepatkan prosesnya agar kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan dengan kadar segera berikutan masalah terbabit membawa risiko kepasa rakyat Sabah.

“Kita harus mengatasi masalah ini kerana ia telah mendatangkan bahaya dan kesulitan yang sangat besar bagi pengguna jalan raya dan juga mempengaruhi kehidupan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau jalan rosak di KM44.7 Jalan Penampang – Tambunan, di sini, hari ini

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad.

Selain itu, Hajiji turut berkata berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, terdapat sebanyak 15 jalan rosak teruk dan tidak dapat dilalui sementara 11 jalan yang lain sebahagiannya terputus manakala 15 lagi juga dilanda bencana disebabkan hujan tanpa henti namun masih dapat dilalui kenderaan.

Menurutnya, dari 41 jalan yang rosak, 37 adalah milik kerajaan negeri sementara empat lagi di bawah kendalian kerajaan Persekutuan.

Selain jalan Penampang – Tambunan, jalan lain yang terputus sepenuhnya ialah Jalan Nangoh – Paitan – Kanibongan, Jalan Apin Apin – Bundu Kampung Tiga, Jalan Montenior – Hologilat, Jalan Bilangau Darat, Jalan Liu Malubang, Jalan Telaga (jambatan runtuh), Jalan Rukom Kibuluh, Jalan Suang Duyung, Jalan Mengkubau Laut, Jalan Pinuludan, Jalan Pinampadan dan Jalan Bungaliou – Longkou Lama – Timbok.

“Jumlah yang diperlukan untuk memperbaiki kerosakan ini cukup besar tetapi kami dapat menguruskannya.

“Kami melakukan yang terbaik dan saya harap orang ramai akan memahami dan bersabar kerana agensi yang berkenaan menjalankan kerja-kerja penyambungan semula semua jalan yang rosak,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *