Kerajaan negeri Sabah agih bantuan bakul makanan untuk 76 kampung, 4,900 ketua isi rumah

PITAS: Kerajaan negeri Sabah menerusi Pusat Bantuan Bencana berterusan menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk Sabah yang terjejas akibat bencana.

Ini turut membabitkan bantuan kepada 4,900 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada 76 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah berkata bantuan terbabit disalurkan kepada penduduk di kampung-kampung yang terputus hubungan dan bekalan makanan berikutan hujan yang berlarutan sehingga seminggu.

“Pihak ADUN Pitas dan saya sendiri tidak putus-putus mengedarkan bantuan kepada semua mangsa banjir.

“Sebagai wakil rakyat saya terpanggil untuk tampil membantu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu turut berkata hujan yang berterusan sejak minggu lepas menyebabkan banyak kampung terputus hubungan jalan raya akibat banjir dan menyebabkan bekalan makanan terputus.

Ruddy berkata, bantuan bakul makanan yang diedarkan adalah sumbangan dari kerajaan negeri Sabah dan sumbangan peribadinya termasuk kos penghantaran ke kawasan pendalaman menggunakan lori dan sampan juga dibiayai oleh beliau sendiri.

Menurutnya juga, beliau sendiri telah menambah sebanyak 2,500 bakul makanan kepada penduduk kawasan Pitas yang terjejas akibat banjir.

Selain itu, beliau menzahirkan penghargaan kerana pihak lain termasuk agenda-agensi kerajaan, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberikan bantuan kepada penduduk di Pitas yang terjejas akibat bencana alam itu.

“Selain mengedarkan bantuan bakul makanan menggunakan lori dan bot, pihak lain turut serta membantu seperti pihak Majlis Daerah Pitas yang menggunakan lori Jabatan Kerja Raya (JKR), kapal marin Kudat dan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM). Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Ruddy menyampaikan sumbangan pelitup muka dan lampu solar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pitas.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *