Penduduk Pangsapuri Tajung Aru kosongkan bangunan berusia 50 tahun

TANJUNG ARU : Penyewa pangsapuri Pusat Perumahan Kos Rendah (PPR) Tanjung Aru perlu mengosongkan bangunan pangsapuri yang mereka diami bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

Ini antara sebab utama, mereka diarahkan untuk mengosongkan bangunan berkenaan dan notis sudahpun diberikan sejak tahun lalu berikutan keadaan struktur bangunan itu tidak lagi selamat untuk didiami.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB), YB Datuk Masiung Banah telah hadir bagi menyaksikan perpindahan penduduk seperti yang telah dirancang tujuh bulan sebelumnya pagi tadi.

Bagaimanapun, proses perpindahan tersebut mendapat bantahan sebahagian besar daripada penyewa, kerana mereka mendakwa bahawa surat butiran penuh mengenai perumahan yang didiami tidak lagi selamat untuk didiami perlu dilampirkan bersama.

Masiung yang diminta untuk menjelaskan berkaitan perkara itu, dalam kenyataannya mengulas bahawa di pihak LPPB sebagai pemilik penuh PPR disana sudah pasti tidak mahu kejadian-kejadian yang tidak diingini di kemudian hari berlaku berikutan usia bangunan PPR itu sudah menjangkau lebih 50 tahun dan pihaknya tidak mahu dipersalahkan kemudian hari sekiranya terdapat kejadian runtuhan atau sebagainya.

“Sebenarnya keputusan ini bukannya keputusan saya sendiri, malah hal ini pernah dibuat kerajaan sebelum ini, dan saya hanya meneruskan legasi sebelum ini.

“Saya tidak sewenangnya membuat keputusan ini, melainkan sudah berpuas hati dengan penilaian pihak JKR serta nasihat dari pihak pentadbiran LPPB,” ujarnya.

Menurutnya, pihak LPPB pernah menawarkan kepada mereka untuk berpindah sewa di beberapa perumahan PPR milik LPPB di kawasan lain namun para penduduk yang terlibat menolak dengan alasan mahukan perumahan dikawasan yang berhampiran sahaja.

Selepas memberikan kenyataannya, Masiung menerima surat bantahan daripada penduduk yang terlibat dan diserahkan sendiri kepada beliau, sambil memohon maaf dengan segala apa yang berlaku.

Bagaimanapun, Masiung menegaskan bahawa sudah tidak ada lagi perlanjutan
tempoh pemindahan melainkan hanya menunggu keputusan penuh dan pada masa yang sama, pihak LPPB tidak akan mengutip sewa sepanjang tempoh berkenaan.

Turut hadir, Pengurus besar LPPB Pn Rosemary Ahping serta pegawai penguatkuasa DBKK dan kakitangan LPPB sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *