Sabah FC rekrut pemain baharu ikut bajet

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menegaskan masih terlalu awal untuk memberi bayangan pemain-pemain baharu yang bakal menyarung jersi The Rhinos bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Sebaliknya bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu tidak menafikan adalah penting untuk kelab kepulauan Borneo tersebut mendapatkan khidmat pemain berkualiti seperti Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail dan beberapa pemain lain dalam memperkuatkan cabaran pasukan.

“Ya, sememangnya Sabah tidak hanya memerlukan para pemain berkualiti tetapi juga berpengalaman bagi memberikan cabaran kepada kelab gergasi Liga Super lain musim depan.

“Namun buat masa ini beberapa nama besar tersebut hanya spekulasi yang ditularkan di media sosial, apa yang lebih penting saya perlu berbincang dengan pengurusan terlebih dahulu terutamanya daripada segi bajet pasukan untuk musim depan,” katanya pada Khamis.

Jelas Kim Swee lagi, beliau tidak boleh memilih para pemain secara sesuka hati tanpa mengikut kriteria perbelanjaan yang ditetapkan pengurusan kelab.

“Pada saya sudah tentu kita inginkan beberapa pemain yang mempunyai mutu permainan berkualiti tinggi untuk mencapai keputusan baik dalam saingan Liga Super 2022.

“Dalam masa sama kita juga sudah mengenalpasti beberapa pemain tempatan untuk dicadangkan kontrak baharu musim depan berdasarkan kemampuan kewangan Sabah FC.

“Setiap tahun pasti semua kelab akan membeli, menjual atau mengekalkan para pemain mereka dan sama juga dengan pasukan Sabah sudah tentu ada pemain yang tidak akan disambung kontrak dan ada juga pemain yang akan disambung kontrak,” katanya.

Pada masa sama Kim Swee berkata, senarai rasmi pemain-pemain Sabah FC musim depan hanya diketahui selewat-lewatnya awal Disember ini.

“Apa yang boleh kita kongsikan di sini….Sabah FC melakukan perancangan rapi untuk mengekalkan berapa pemain utama yang sudah menunjukkan prestasi yang memberansangkan sepanjang musim ini,” katanya. – SH, gambar- Sabah FC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *