Nasib Peter esok

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony akan mengetahui nasibnya esok, sama ada dilepaskan atau disabitkan atas pertuduhan memalsukan surat, berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi dijangka membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan pada 9 pagi.

Pada 18 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemuka tiga saksi dengan Peter sebagai saksi pembelaan pertama pada prosiding yang bermula 9 Februari lalu.

Dua saksi lain ialah pembantu peribadi Peter, Imy Christopher, 36, dan pengurus forensik digital di Siaga Informatics Sdn Bhd, Nurul Aiman Azmail, 34.

Pada peringkat pendakwaan pula, 15 saksi termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah di UMS (bagi tempoh 3 April 2013 hingga 31 Julai 2018), memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 5 April 2021.

Pada 14 Disember 2021, mahkamah memerintahkan Peter, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya, pada akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Haresh Prakash Somiah dan Francine Cheryl Rajendram, manakala peguam S Devanandan mewakili Peter. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *