KM luang masa bertemu pemimpin masyarakat Cina di Sandakan

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sempat meluangkan masa bertemu dengan pemimpin persatuan masyarakat Cina di Sandakan di kediaman Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Malaysia Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt.

Pertemuan singkat dalam majlis minum petang pada minggu lepas adalah satu usaha mengeratkan silaturahim antara kedua pihak.

Sementara itu, Andrew yang juga Ahli Panasihat Ekonomi Sabah (SEAC) yang juga Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah ketika ditemui bagi mengulas hasil pertemuan itu telah merakamkan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran Ketua Menteri Sabah ke kediamannya walaupun mempunyai jadual lawatan yang padat di Sandakan.

“Kehadiran Ketua Menteri amat kami nanti-nantikan, kami yang terdiri daripada pemimpin persatuan masyarakat Cina turut berbangga dan menghargai kunjungan beliau (Hajiji) beramah mesra dan berbincang dengan pihak kami,” katanya.

Beliau berkata pihak kami yang terdiri dari palbagai persatuan masyarakat Cina akan sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan yang diterajui oleh Ketua Menteri Sabah dalam usaha meningkatkan ekonomi dan jaringan perniagaan di Sabah.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Roland Chia, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Wong Foo Tin dan pemimpin-pemimpin masyarakat Cina di Sandakan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published.