Dr Rose Nani pakar bidang epidemiologi dilantik Pengarah Kesihatan Negeri Sabah baharu

KOTA KINABALU: Dr Noor Hisham Abdullah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dalam laman muka buku rasmi beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dr Rose Nani binti Mudin yang telah dilantik sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Sabah yang baharu berkuatkuasa mulai 13 Julai 2021.

Sebelum ini, Dr Rose Nani merupakan Timbalan Pengarah (Penyakit Berjangkit), Bahagian Kawalan Penyakit, KKM. Beliau merupakan seorang Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam yang berpengalaman luas di dalam bidang kesihatan awam dan klinikal.

Dr Rose Nani mempunyai kepakaran di dalam bidang epidemiologi dan penyakit bawaan vektor selain pernah bertugas sebagai Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM.

Beliau juga pernah bertugas di Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Besar Kesihatan Sungai Koyan, Raub, Pahang.

“Selamat menjalankan tugas dan amanah, semoga kecemerlangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dapat diteruskan,” katanya lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *