Kesukarelawan di kalangan penghuni penjara pemulihan positif

KOTA KINABALU: Sebanyak 140 buah negara telah menyertai program โ€˜The International Award for Young Peopleโ€™ dengan penyertaan lebih tujuh juta belia remaja di seluruh dunia.

Penyertaan yang terbuka kepada semua remaja berumur 14 hingga 25 tahun ini berdasarkan semangat sukarela bagi menghadapi cabaran dalam menempuhi kedewasaan seperti Penerokaan Potensi Diri, Kemahiran Hidup, Kesungguhan, Tanggungjawab dan Khidmat Masyarakat.

Program yang juga dikenali sebagai Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda diiktiraf oleh pihak kerajaan dan bertaraf antarabangsa.

Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan, Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Haji Ajidin Haji Salleh berkata, program yang berunsur kesukarelawan ini menjadi salah satu program pemulihan yang didedahkan kepada para penghuni muda di penjara.

Ini bagi memberi peluang kepada penghuni muda di penjara yang berusia di antara 16 hingga 21 tahun melibatkan diri dengan program-program kemasyarakatan dan kesukarelawan tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran berbentuk material.

Sektor sukarelawan kini sudahpun menjadi bahagian penting dalam aspek-aspek sosio, ekonomi dan politik di kebanyakan negara maju.

Sektor ini juga telah mula muncul secara aktif di sebahagian besar negara-negara membangun.

Amalan kesukarelawan mempunyai potensi yang besar untuk membawa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ke arah kesejahteraan hidup bersama.

Menurut kajian โ€˜The National Youtuh Agencyโ€™, kerja sukarelawan jelas menyokong bukti yang menyatakan bahawa belia boleh meningkatkan keyakinan serta harga diri, nilai bertanggungjawab, merasa berkepentingan kepada masyarakat terutamanya kepada golongan yang dibantu.

Selain itu ianya membangunkan pelbagai kemahiran komunikasi, sikap kepimpinan, kerjasama, daya penyelesaian masalah/konflik, mengembalikan semula keyakinan terhadap pembelajaran dan kehidupan kerana proses kerja sukarela memerlukan perancangan rapi dalam aspek masa dan hubungan dengan orang sekeliling serta meningkatkan keupayaan dan potensi untuk terus bekerja denga masyarakat.

Bertepatan dengan itu, Jabatan Penjara Malaysia mengambil inisiatif membuka peluang kepada penghuni muda di Sekolah Integriti Kota Kinabalu untuk mendaftar sebagai peserta tahap gangsa bagi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda.

Program ini adalah jalinan kerjasama yang julung-julung kali dijalankan di antara Penjara Pusat Kota Kinabalu dengan Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah.

Program enam bulan yang bermula sejak Disember 2021 telah tamat pada Mei 2022 dengan seramai 11 orang penghuni muda layak untuk ditauliahkan.

Peserta yang layak ditauliahkan telah diraikan di dalam Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda yang telah diadakan di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu pada 27 Mei 2022.

Diharapkan agar pendedahan terhadap program kesukarelwan ini dapat memberi persediaan kepada penghuni muda untuk berkhidmat secara sukarela apabila mereka bebas kelak.

Para penghuni muda yang ditauliahkan telah menerima pin Tahap Gangsa dan sijil oleh Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah.

Turut hadir bersama meraikan penerima anugerah tahap gangsa ini ialah PKK Rosman Norman, Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah & W.P Labuan, PKK Teyun Thian Eim, Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Puan Metchella Febrynna Metha, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, guru-guru Sekolah Integriti, pegawai-pegawai Jabatan Penjara Malaysia serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah.-Sabah360

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *