Kerajaan negeri Sabah benarkan fasiliti perubatan tradisional dan komplimentari beroperasi ketika PKPB
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah hari ini telah memutuskan semua fasiliti perubatan tradisional dan komplimentari termasuk fasiliti pengamal pengubatan Islam dibenarkan untuk beroperasi semula ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun memperincikan beberapa ketetapan yang harus dipatuhi.
“Setiap sesi perkhidmatan yang diberikan tidak boleh melebihi tempoh satu jam dan perkhidmatan secara berpasangan atau berkumpulan adalah dilarang.
“Perkhidmatan yang merangsang pengeluaran cairan tubuh seperti kahak, hingus, lendir dan muntah adalah juga adalah tidak dibenarkan.
“Minyak yang digunakan adalah khusus untuk seorang pelanggan dan tidak boleh dikongsi di samping pemakaian sarung tangan oleh pengamal juga adalah diwajibkan bagi sebarang rawatan membabitkan sentuhan.
“Selain itu, alas pakai buang atau linen yang digunakan semasa perkhidmatan seperti cadar, sarung bantal, tuala dan kain perlu ditukar selepas setiap sesi perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan mengenai perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Sementara itu, Masidi turut berkata semua SOP terbabit telah ditetapkan sektor kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Masidi turut mengingatkan petugas dan pelanggan harus mematuhi SOP sedia ada seperti yang digariskan kerajaan ketika berada dalam premis perniagaan.