Kerajaan negeri setuju PKP dilaksanakan semula di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju dengan keputusan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di negeri ini yang akan bermula pada 13 Januari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata PKP adalah perlu untuk dilaksanakan bagi menghentikan peningkatan mendadak kes COVID-19 di Sabah.

Beliau meminta kepada semua orang awam untuk mengikuti arahan daripada pihak berkuasa dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) bagu memutuskan rantaian jangkitan wabak terbabit.

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu ini hingga 26 Januari.

Enam negeri yang terlibat adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri iaitu Perlis dan Sarawak pula akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk tempoh yang sama.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *