Kerajaan GRS perlu hala tuju komprehensif dan holistik dalam mentadbir negeri Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerlukan hala tuju yang komprehensif dan holistik dalam mengurus serta mentadbir negeri terutamanya ketika pandemik COVID-19 ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata tanpa hala tuju yang jelas, kerajaan negeri tidak akan dapat berfungsi dengan baik dan berkesan.

“Ia boleh menyebabkan kegagalan dalam pentadbiran kerana matlamat atau keutamaan tidak dijelaskan dan sasaran pembangunan tidak dititik-beratkan.

“Seperti yang telah saya sentuh semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 18 Disember tahun lepas, kerajaan negeri akan merangka satu pelan pembangunan holistik bagi menjana semula pertumbuhan ekonomi negeri sesuai dengan kekuatan dan kekayaan sumber alam serta keperluan semasa.

“Inilah yang saya maksudkan dengan hala tuju kerajaan negeri, iaitu ke arah memastikan kemajuan dan pembangunan negeri dapat kita teruskan walaupun negeri kita turut tergugat dilanda pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Hari Terbuka Libat Urus; Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan 2021-2025) bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

Hajiji juga berkata walaupun pandemik COVID-19 melanda dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kerajaan GRS akan terus merangka strategik dalam usaha membawa Sabah ke arah kemajuan selaras dengan pelan Sabah Maju Jaya.

“Lebih 50 tahun sudah berlalu, Sabah membangun dengan pesat dan rakyat turut merasai nikmat pembangunan yang ada sekarang.

“Namun itu tidak bermakna kita sudah boleh goyang kaki atau berpuas hati dengan apa yang telah kita capai.

“Sabah adalah negeri kedua terbesar di Malaysia. Banyak lagi yang perlu dilakukan, khususnya di kawasan luar bandar yang masih berada dalam serba kekurangan.

“Inilah sebabnya mengapa kita perlu mempunyai sasaran atau hala tuju yang berimpak tinggi bagi mengubah keadaan hidup rakyat,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *