JPS lancar Pelan Strategik Organisasi 2021 – 2025

KOTA KINABALU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melancarkan Pelan Strategik Organisasi (PSO) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata, PSO JPS Sabah tersebut adalah selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam tempoh masa lima tahun akan datang.

“Kementerian dan JPS Sabah sering dipersalahkan setiap kali berlakunya banjir dan hakisan tebing sungai serta pantai di daerah yang terlibat di Sabah.

“Oleh yang demikian, JPS akan menguatkuasakan peruntukan pengurusan rizab sungai seperti sungai, tasik, perairan pantai, paya dan akuifer serta membangunkan manual pemantauan morfologi dan ekosistem sungai kawalan aktiviti-aktiviti dalam rizab sungai dan pantai.

“Pelan yang mempunyai empat teras utama dan 23 strategi ini untuk memastikan tindakan perlu diambil untuk mengatasi sebarang masalah berlaku,” katanya semasa berucap melancarkan Pelan Organisasi JPS Sabah berkenaan di sebuah terkemuka hotel di sini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan menyatakan, JPS sedang membangunkan mekanisme untuk menguatkuasakan peruntukan dalam Enakmen Sumber Air berkaitan kebenaran pengambilan air daripada badan air yang mana, sekiranya dilaksanakan akan membolehkan Kerajaan Negeri mengutip hasil sebanyak RM17 juta setahun.

“Pelaksanaan ini sudah tentunya akan mengambil kira kemungkinan kesan ekonomi dan sosial ke atas pelbagai pihak.

“PSO JPS ini membolehkan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih kemas terutama dalam menguruskan sumber air Negeri Sabah selaras dengan perundangan Enakmen Sumber Air Sabah 1998,” ujarnya lagi.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr Mariana Tinggal, Pengarah Pengairan dan Saliran Sabah, Waily Harim dan Ketua-Ketua Bahagian serta Jurutera-Jurutera Daerah JPS.-PENERANGAN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *