Kim Swee beri sebab kenapa Sabah tersungkur
KOTA KINABALU: Kegagalan pemain memanfaatkan peluang yang dicipta sepanjang aksi suku akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Likas, malam tadi menjadi punca skuad Sabah tumbang.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata kegagalan itu membolehkan Selangor mendapat kelebihan, lebih-lebih lagi sudah mendahului 1-0 pada minit pertama perlawanan.
Kelemahan Sabah, katanya bertambah parah apabila pemain pertahanan, Dominic Tan mengalami kecederaan sebelum digantikan dengan pemain muda, Hanafie Tokyo.
“Apabila Dominic terpaksa dikeluarkan kerana masalah kecederaan, di situlah beberapa corak permainan berubah. Namun, selepas Hanafie masuk menggantikan Dominic, permainannya agak baik walaupun ini perlawanan pertamanya.
“Namun, secara keseluruhannya kita tidak berjaya untuk memanfaatkan peluang yang kita cipta dan ini memberikan kelebihan kepada pasukan Selangor,” katanya mengulas punca kekalahan Sabah.
Sabah tewas 2-0 di tangan Selangor melalui jaringan Hyuri Henrique pada minit pertama perlawanan dan Herlison Caion pada minit ke-80.
Kim Swee mengakui keputusan perlawanan memang mengecewakan terutama kerana Sabah terkeluar daripada saingan Piala FA.
Kecederaan yang dialami pemain Sabah FC katanya bukan hanya menjejaskan perlawanan malam tadi, malah mungkin turut memberi kesan kepada permainan Liga Super selepas ini bermula dengan pertemuan menentang PJ City FC di gelanggang lawan pada Selasa ini.
“Sudah tentu kita perlu memikirkan pengganti untuk Jackson de Souza dan Dominic. Namun, kita mempunyai beberapa pemain lagi yang kita perlu berikan peluang dan pasti ini satu tugas yang lebih mencabar apabila kita bermain dengan PJ City.
“Namun kita tidak boleh terlalu memikirkan apa kekurangan, sebaliknya kita harus memikirkan secara positif pemain yang akan diturunkan berdepan dengan PJ City nanti,” katanya.
Sementara itu, pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner berkata, jaringan awal pada minit pertama memberi keyakinan kepada pasukannya untuk bermain dengan lebih baik.
Katanya, anak buahnya juga mampu mengawal perlawanan dengan baik walaupun berdepan serangan balas pemain Sabah FC dalam usaha mereka mencari gol. -BH