Kerajaan negeri Sabah laksana program keusahawanan, kemahiran bantu golongan ibu tunggal luar bandar
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah telah melaksanakan beberapa program sebagai kaedah membantu golongan ibu tunggal di luar bandar Sabah.
Menterinya, Shahelmey Yahya berkata pihaknya menumpukan terhadap penganjuran program berbentuk latihan keusahawanan dan kemahiran.
“Kementerian saya melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) saban tahun menganjurkan program kemahiran dengan mensasarkan program latihan keusahawanan dengan melibatkan lebih ramai ibu tunggal di luar bandar.
“Selain itu, sepanjang pandemik COVID-19 melanda Sabah, JHEWA juga telah meneruskan pelaksanaan program kemahiran ibu tunggal secara ‘webinar’ di beberapa daerah seperti Keningau, Nabawan, Tenom, Tuaran dan Kota Kinabalu.
“Pada masa yang sama, kita juga telah melaksanakan program kemahiran di lapangam semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai Jun sehingga Ogos lepas,” katanya.
Mengulas lanjut mengenainya, Shahelmey berkata program kemahiran keusahawanan itu telah dilaksanakan membabitkan enam daerah iaitu Kota Marudu, Putatan, Penampang, Ranau, Kota Kinabalu dan Tawau di samping mengatakan pihaknya akan melaksanakan program sama untuk golongan ibu tunggal dalam bandar.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Chong Ket Kiun (DAP – Elopura) ketika berbahas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Sabah, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau juga berkata pihaknya juga turut memberi bantuan guaman kepada masyarakat khususnya wanita yang memerlukan bantuan dan khidmat nasihat di bawah Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW).
Tamat