ITP ejen perubahan pulihkan industri perkayuan di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Perladangan Pokok Perindustrian (ITP) adalah ejen perubahan untuk memulihkan industri kayu balak Sabah dan mengembalikan kegemilangannya sama seperti tahun 1980-an apabila ia mencatatkan pengeluaran sebanyak 12 juta meter padu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata ITP, perkongsian awam-swasta yang inovatif antara Kerajaan Sabah dan industri perkayuan untuk mengurangkan tekanan terhadap kayu tropika dan hutan, ia diunjurkan memperoleh RM7 bilion setahun daripada eksport kayu.

Di bawah inisiatif ITP, penggiat industri perkayuan dalam sektor swasta Sabah akan menanam 80 juta pokok dalam tempoh 10 hingga 12 tahun membabitkan pelaburan sebanyak RM4 bilion.

“Berdasarkan input industri, kewujudan ladang hutang berkeluasan 400,000 hektar akan berpotensi menciptakan peluang pekerjaan kepada 40,000 pekerja mahir dan separuh mahir dalam sektor huluan.

“Sebanyak 40,000 pekerja lagi dalam industri hiliran akan diciptakan selepas tempoh tertentu. Kita harus memastikan industri perkayuan mampan untuk generasi akan datang dan untuk industri tersebut,” katanya pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah (SIBE) 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini.

SIBE 2022 bertemakan ‘Membuka Potensi Sabah, Menciptakan Peluang Perniagaan’ akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini. Kira-kira 400 peserta menghadiri acara itu termasuk delegasi antarabangsa, pelabur dan pemain industri.

Hajiji berkata ITP bukan sahaja ejen perubahan ekonomi tetapi ia penting untuk pemuliharaan dan kemampanan.

Jabatan Perhutanan Sabah sebagai pemelihara hutan ditugaskan untuk memantau pelaksanaan ITP bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan tadbir urus hutan, katanya.

“Penanaman pokok di kawasan yang dimusnahkan oleh aktiviti pembalakan akan memberi manfaat yang besar (jika kita mahu) sebuah negara neutral karbon seawal tahun 2050. Usaha ini adalah selaras dengan Tadbir Urus Alam Sekitar, Sosial dan Korporat (ESG) dan matlamat pembangunan mampan,” katanya.

Ketua Menteri Sabah itu berkata kepentingan kelestarian adalah tinggi dalam agenda kerajaan negeri kerana ia bukan sahaja melibatkan alam sekitar dan isu pemanasan global yang berlaku sekarang tetapi juga merupakan penyumbang positif kepada pembangunan ekonomi dan hasil negeri.

Hajiji juga berkata beliau akan menyaksikan tiga majlis menandatangani Memorandum Persefahaman esok untuk pelaburan berimpak tinggi dalam pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Kerajaan negeri yakin bahawa pelaburan baharu ini termasuk pembuatan panel solar yang inovatif dan ladang herba berskala besar akan menjamin Sabah memperoleh pulangan yang baik selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyatnya, katanya.

“Kami berharap lebih ramai pelabur domestik dan asing memasuki Sabah dan kerajaan negeri akan mengukuhkan pelaksanaan pelbagai projeknya,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *