Hala Tuju Sabah Maju Jaya pacu pembangunan ekonomi terkesan COVID-19

KOTA KINABALU: Berdepan kelembapan ekonomi akibat penularan COVID-19 tahun ini, Kerajaan Sabah diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengorak langkah merangka pertumbuhan negeri itu dengan memperkenal pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Pelan pembangunan negeri untuk lima tahun bermula tahun ini dilancarkan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor (gambar) pada 29 Mac lepas, mempunyai tiga teras berdasarkan slogan SMJ iaitu S – tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan;  M – modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta  J – jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Hala Tuju SMJ mempunyai 584 inisiatif meliputi 304 inisiatif teras dan 280 inisiatif pemboleh daya dan negeri itu tidak menunggu lama untuk memperoleh manafaat daripada SMJ apabila negeri itu menerima pelaburan daripada syarikat Korea Selatan.

Negeri di Bawah Bayu itu menerima pelaburan RM4.2 bilion daripada SK Nexilis, pengeluar terkemuka bagi produk kerajang tembaga untuk penghasilan bateri kenderaan elektrik (EV) bagi operasi pengeluaran bahan itu di Sabah dan dijangka mewujudkan 400 peluang pekerjaan.

K.K.I.P Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri dan pengendali Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), memeterai perjanjian pajakan dengan SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd, unit SK Nexilis Korea Selatan pada 26 Julai lepas bagi membina kilang itu di kawasan seluas 40.5 hektar di KKIP dan dijangka beroperasi 2023.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri tahun ini berjaya menarik pelaburan bernilai RM11.2 bilion terutama dalam sektor perindustrian dan pelancongan walaupun berdepan pandemik COVID-19, menunjukkan ekonomi negeri semakin pulih.

Selain itu, Sabah juga mengenal pasti kawasan pertumbuhan ekonomi berpotensi di sempadan Sabah-Kalimantan melalui pembangunan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris dengan mengambil kira potensi ekonomi yang akan diwujudkan berikutan pemindahan ibu negara Republik Indonesia ke Kalimantan.

Sabah sememangnya terkenal dengan hasil petroleum, justeru bagi memanfaatkan sepenuhnya hasil bumi itu demi membangunkan ekonomi negeri yang terkesan pandemik, kerajaan negeri pada 7 Disember lepas memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas.

Hajiji turut mengumumkan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd bagi membolehkan penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi memastikan terma serta syarat CCA dilaksanakan demi kepentingan Sabah dan rakyatnya.

Petroleum terus menjadi sumber hasil terbesar negeri apabila Belanjawan 2022 Sabah dibentang Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah pada 3 Disember lepas menjangkakan royalti petroleum menyumbang RM1.2 bilion diikuti cukai jualan produk petroleum sebanyak RM1.1 bilion.

Hasil itu membolehkan Belanjawan 2022 Sabah, yang merupakan belanjawan kedua di bawah kerajaan negeri pimpinan GRS, dibentang dengan lebihan RM110.68 juta iaitu perbelanjaan sebanyak RM4.596 bilion berbanding hasil berjumlah RM4.707 bilion.

Sabah juga akan menerima peruntukan berjumlah RM5.2 bilion antaranya untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan pendidikan dan kesihatan melalui  Bajet 2022 negara seperti dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lepas. 

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September lepas di Sabah juga begitu bermakna bagi negeri itu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya berjanji memberi perhatian kepada isu kepentingan Sabah dan Sarawak menerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Komitmen perdana menteri itu dikota pada 14 Disember lepas apabila Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat sekali gus memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia.

Bagi Hajiji keputusan itu penting bagi membuka jalan kepada pemulihan sepenuhnya perjanjian itu, manakala menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, ia kejayaan perundangan besar bagi menuntut hak Sabah dan Sarawak menerusi MA63.

COVID-19 masih menjadi musuh utama negeri ini apabila sehingga 14 Disember lepas sebanyak 237,122 kes kumulatif direkodkan di negeri ini dengan 227,760 daripadanya telah sembuh manakala proses vaksinasi berjalan lancar apabila lebih 2.39 juta penduduk negeri telah lengkap divaksin sehingga 11 Disember lepas, dan daripada jumlah itu, 75.67 peratus penduduk dewasa manakala selebihnya remaja.

Selain pandemik itu, masalah banjir juga masih menjadi isu penting di Sabah seperti banjir besar yang menjejaskan 937 penduduk di Penampang pada 15 Sept selain kejadian banjir kilat di beberapa kawasan terutama di Bandaraya Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan akan menyelesaikan punca masalah banjir itu selain berusaha menangani masalah gangguan bekalan air yang masih terus membelenggu penduduk Sabah.

Tahun ini juga menyaksikan Ismail Sabri melancarkan tiga pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur jajaran Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid sepanjang 58 kilometer melibatkan kos sebanyak RM877 juta pada 6 November lepas yang dijangka siap pada Oktober 2024.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *