Sahrizan Saidin mahu main untuk JDT lagi dua tahun

Pemain muda berbakat besar Sabah, Sahrizan Saidin meletak sasaran dalam tempoh dua tahun ini untuk mempamerkan aksi cemerlang bagi memikat pengurus pasukan gergasi selatan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya rasa bukan saya seorang sahaja tetapi ramai lagi pemain-pemain muda seperti saya memasang impian untuk bermain dengan JDT.

Jadi untuk realisasikan impian saya itu, saya letak sasaran selama dua tahun untuk membuktikan kemampuan saya,”katanya kepada Harimau Malaya.

Jika pandemik COVID-19 menjadi musibah buat ramai orang, namun untuk Sahrizan pula sebaliknya berlaku apabila pandemik menjadi rezeki buat dirinya apabila dia yang bermain dalam pasukan Piala Presiden Sabah FC mendapat peluang untuk beraksi bersama skuad utama apabila saingan liga tersebut dibatalkan.

Pemain berusia 22 tahun itu telah membuat empat penampilan bersama skuad utama dan ternyata ia telah berjaya memikat ketua jurulatih yang menandatanganinya untuk bersama skuad utama pada musim ini.

Dalam pada itu, Sahrizan akui pasukan Sabah pada musim ini mampu menjadi pencabar utama selepas rombakan besar-besaran dilakukan pasukan dengan membawa masuk bekas ketua jurulatih kebangsaan dan pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee.

Malah Sabah juga membawa masuk ramai pemain-pemain bintang seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Khairul Fahmi, Dominic Tan dan ramai lagi.

Walaupun tahu cabaran sengit yang perlu dihadapinya untuk mendapatkan minit permainan, namun Sahrizan enggan melihat kedatangan pemain bintang dalam pasukan sebagai penghalang sebaliknya sebagai motivasi untuk dirinya terus berusaha dengan lebih keras untuk dapat kepercayaan jurulatih.

Dalam pada itu, Sahrizan turut mengulas mengenai komen-komen segelintir peminat Sabah yang tidak berpuas hati dengan kemasukan ramai pemain bintang yang dikatakan bakal menutup peluang untuk pemain muda Sabah.

“Secara peribadi saya tidak melihat ia sebagai penutup peluang untuk pemain muda Sabah bermain, sebaliknya pemain-pemain muda perlu bekerja keras sekiranya mahu dapat peluang bermain.

Jika pemain itu berusaha dengan keras, sudah pasti dia akan mendapat kepercayaan jurulatih untuk turun beraksi.”

Sharizan berharap agar peminat setia pasukan Sang Badak akan terus memberikan sokongan padu kepada pasukan sepanjang musim ini. – harimaumalaya.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *