Hajiji: Sabah bangunkan 400,000 hektar ladang hutan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan pembangunan ladang hutan seluas 400,000 hektar dalam kawasan hutan simpan menjelang 2036 bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kayu balak di hutan simpan, di samping mengukuhkan tanaman hasil kayu di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata pembangunan ladang hutan itu membabitkan kawasan Hutan Simpan Kelas II (Komersial) di bawah lesen jangka panjang Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA).

Beliau berkata, ia berdasarkan pada Pelan Pengurusan Hutan untuk tujuan pengeluaran kayu hutan di masa akan datang dan tidak akan membabitkan sebarang pindaan terhadap Enakmen Hutan 1968.

“Cadangan ini adalah selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melestarikan sumber hutan seperti yang dinyatakan dalam Teras 1, Dasar Hutan Sabah 2018, iaitu bagi mengoptimumkan pengeluaran hutan simpan secara mampan.


“Pembangunan ladang hutan ini adalah bagi meningkatkan keupayaan kapasiti pengeluaran kayu balak negeri sehingga enam juta meter padu setahun bagi menampung keperluan bekalan industri perkayuan negeri Sabah, seterusnya meningkatkan kutipan hasil negeri.

“Selain menambahkan stok dirian kayu hutan pada masa hadapan, usaha ini juga bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian terhadap isu dibangkitkan Jannie Lasimbang (DAP – Kepayan), mengenai pembangunan ladang hutan ketika sesi ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji turut menjawab soalan Datuk Junz Wong (WARISAN- Tanjung Aru) mengenai status Sabah Forest Industries (SFI) dan kebajikan pekerja.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan agensi berkaitan sudah menubuhkan sebuah konsortium bagi menerajui pelaburan baharu di Sipitang bagi menggiat dan mengaktifkan industri kayu-kayan di kawasan itu.

“Pelaburan swasta baharu ini akan dipantau oleh kerajaan negeri dan yang paling penting, pemilikan tanah perindustrian dan hutan akan tetap kekal sebagai hak negeri. ia juga akan menangani isu kebajikan pekerja SFI yang terbabit,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *