Hajiji: Kerajaan negeri komited pastikan projek pembangunan dilaksana ikut jadual untuk manfaat rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited dalam memastikan semua projek yang diluluskan dilaksanakan mengikut jadual agar rakyat yang disasarkan untuk projek tersebut mendapat manfaat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri beliau telah meminta kepada Kerajaan Persekutuan agar menyelesaikan isu-isu berkaitan projek sakit tersebut.

Katanya keutamaan adalah setiap projek yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam setiap Bajet Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12 hendaklah dilaksanakan mengikut jadual.

“Pada masa yang sama, saya telah mengarahkan semua Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan agar mengambil perhatian serius tentang perkara tersebut,” katanya pada ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri Api-Api Datuk Christina Liew.

Christina ingin mengetahui tindakan diambil kerajaan negeri mengenai 16 projek sakit di Sabah yang dinyatakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapha Mohamed pada bulan lepas.

Menjawab soalan lain Christina yang mencadangkan penukaran gelaran Ketua Menteri Sabah kepada Premier, Hajiji berkata pada masa ini, Kerajaan Negeri belum bercadang untuk menukar gelaran tersebut. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published.