Fokus selesaikan masalah rakyat

KUDAT: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Fairuz Renddan menggesa semua pihak bertanggungjawab untuk fokus dalam menyelesaikan semua permasalahan rakyat terutamanya ketika pandemik COVID19 semakin sedang melanda dan musibah bencana alam yang melanda seperti banjir serta tanah runtuh.

Katanya, usaha untuk membantu menyelesaikan masalah dan kesulitan rakyat adalah tugas utama Kerajaan Negeri Sabah dan tidak wajar untuk isu negatif lain dibangkitkan khasnya bagi menggugat keharmonian dan keamanan seluruh negeri Sabah.

“Baiknya pada masa kini, kita semua fokus pada usaha untk selesaikan masalah rakyat, masalah COVID19, masalah bencana alam yang menyulitkan rakyat dan pelbagai lagi usaha termasuk membangunkan semula ekonomi negeri Sabah dari pelbagai sudut.

“Usah gigih dan taksub untuk mengejar nama tanpa menyelami kepayahan rakyat kita, usah cipta masalah baharu yang akan menggugat keamanan kita di Sabah kerana kita adalah rakyat yang bersatu dalam sebuah negeri yang harmoni, berbilang bangsa dan agama, menghormati dan prihatin antara satu sama lain,” katanyam

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas kunjungan dan misi agihan bantuan ARMADA Negeri Sabah di daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas, semalam.

Fairuz juga berkata bencana alam yang menimpa rakyat sudah cukup membebankan dan menyusahkan rakyat terutamanya di musim penularan COVID19.

“Mangsa-mangsa banjir di kawasan Kudat, Kota Marudu dan juga tanah runtuh di Pitas, sudah cukup merasakan kepayahan, kediaman dimasuki air banjir, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir, ditambah pula dengan virus COVID19 yang kian lama kian bertambah kes nya sehinggakan kita di Sabah kembali menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini sehingga 26 Januari depan selama dua minggu.

“Saya yakin kerajaan negeri yang ditadbir oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berusaha keras untuk menyelesaikan semua masalah ini dan sewajarnya kita terus positif dan tidak menjadi pencetus kepada masalah baharu atau menyulitkan urusan rakyat,” katanya.

Fairuz bersama Armada BERSATU Sabah melawat ketiga-tiga daerah terjejas disamping memberikan bantuan berupa barang keperluan asas untuk kebersihan diri seperti topeng pelitup mulut dan hidung, cecair pembasmi tangan, susu formula untuk bayi, lampin pakai buang, biskut, bekalan air minuman serta bantuan wang tunai kepada mangsa.

Sementara itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan memberitahu bahawa pihak bertanggungjawab yang mengurus masalah bencana juga perlu menyediakan lebih banyak bantuan kecemasan dan aset lain-lain bagi tujuan membantu mangsa bencana alam.

“Pihak berwajib yang mengendalikan masalah bencana alam pastinya perlu fokus untuk menyediakan lebih banyak aset dan lain-lain bantuan kecemasan khususnya ketika banjir berlaku di Sabah, lebih-lebih lagi di musim sekarang, cuaca tidak menentu dan hujan lebat berterusan di kawasan-kawasan tertentu yang mengundang kepada masalah banjir serta tanah runtuh,” jelasnya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *