Amaran tegas kepada yang gagal jalankan tanggungjawab pada rakyat – Hajiji
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPng) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
Ketua Menteri memberikan peringatan tegas kepada semua Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan di negeri ini agar bertindak proaktif dan produktif atau tindakan tegas akan dikenakan sekiranya didapati ada pihak yang melambatkan pelaksanaan projek pembangunan negeri yang amat signifikan kepada kepentingan rakyat keseluruhan.
Ketua Menteri menyatakan bekerja dari rumah yang diamalkan kini bukanlah satu alasan untuk melambat-lambatkan tugasan. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan dan menurunkan peruntukan.
Namun terdapat banyak projek pembangunan yang belum dapat dilaksanakan secara baik. Ketua Menteri tidak mahu perkara seperti itu berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Seiring dengan perkembangan zaman, sekarang adalah masanya untuk meningkatkan kerjasama dan mengkaji semula semua peraturan yang sudah tidak relevan.
Ketua Menteri meminta seluruh jabatan dan agensi kerajaan negeri Sabah untuk memanfaatkan teknologi maklumat dalam meningkatkan perkhidmatan dan membantu sektor swasta yang merupakan penggerak utama ekonomi negara.
Melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Sabah, pada 8 Ogos tahun ini, sejumlah RM1.459 bilion atau 32.31 peratus daripada RM4.517 bilion telah diluluskan dan dibelanjakan di bawah Pelan Rolling Pertama RMKe-12.
Turut hadir dalam mesyuarat ini YB Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg Datoโ Dr. Zulkapli bin Mohamed, Setiausaha Persekutuan Sabah, Haji Noor Alam Khan Wahid Khan, Pegawai Pembangunan Sabah serta turut dihadiri bersama oleh kementerian berkaitan secara maya.