PGA rampas rokok seludup bernilai lebih RM8 juta di Tawau
TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 362,600 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM8.69 juta selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki di tepi jalan Kampung Iban, Merotai dekat sini malam tadi.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Supt Mohd Yacob Murad berkata pihaknya melakukan intipan menerusi Op Kontraban pada 10 malam dan mengesan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun tersebut dalam keadaan mencurigakan dengan bahagian belakang lori ditutup kanvas.
โPemeriksaan ke atas lori menemukan 604 kotak besar berisi pelbagai jenama rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negeri ini.
โRokok yang ditemukan adalah jenama a-satu (161,600 bungkus), Tex Hijau (108,500), Tex Merah (68,000) dan Tex Biru (24,500) yang semuanya dianggarkan bernilai RM8,690,888,โ katanya dalam kenyataan.
Mohd Yacob berkata pihaknya menahan pemandu lori dan merampas kenderaan itu serta satu telefon bimbit.
Katanya lelaki itu dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
โ BERNAMA