ADUN Tandek beri sumbangan kepada pelajar tahun enam SK Sg. Magandai

KOTA MARUDU: Seramai 19 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sg. Magandai telah menerima bantuan dalam usaha membantu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tingkatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek 2 tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek Hendrus Anding berkata, beliau memutuskan untuk memberikan sumbangan kepada semua murid berkenaan kerana sedar bahawa pentingnya pendidikan untuk mengubah taraf kehidupan di masa hadapan.

“Antara keperluan yang dibantu kepada para murid ini ialah seperti pakaian sekolah, lencana, tali leher, buku latihan serta peralatan berkaitan. Kesemuanya berharga RM85 setiap seorang.

“Bagi pihak rakyat di DUN Tandek, saya sedia menyumbangkan untuk apa juga perkara khususnya dalam program dan insentif berkaitan pendidikan.

“Saya berharap pelajar-pelajar dari pedalaman ini akan mampu berjaya serta mengubah nasib keluarga masing-masing di masa hadapan,” katanya ketika menyempurnakan Program Outreach Murid Tahun Enam SK Sg Magandai yang bakal memasuki SMK Tandek 2 di sini semalam.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tandek Majawap Masantun, Guru Besar SK Sg Magandai Jairon Maiba.

Beliau berkata, SK Sg, Magandai juga merupakan sekolah feeder untuk SMK Tandek 2.

Katanya, perjalanan dari Pekan Tandek ke SK Sg Magandai perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan mengambil masa lebih kurang empat jam untuk tiba.

Menurutnya, keadaan jalan yang berlumpur turut menyebabkan kawasan berkenaan tidak dapat dilalui menggunakan kenderaan biasa.

“Saya juga berharap dengan inisiatif yang diambil untuk mengadakan program seumpamanya, tidak lagi ada kejadian keciciran murid dari SK Sg Magandai untuk memasuki sekolah peringkat menengah disebabkan jarak yang jauh serta taraf hidup yang masih daif,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *