500 pek bakul makanan diagihkan di zon Penangah

KUAMUT: Sebanyak 500 pek bakul makanan telah diagihkan di zon Penangah kepada golongan khususnya penduduk kampung yang terjejas ketika pandemik COVID-19 melanda negeri ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata bantuan pek bakul makanan terbabit diagihkan di lima buah kampung zon terbabit iaitu Kampung Stesen Penangah, Kampung Malikop, Kampung Dewaea, Kampung Sariwati dan Kampung Pinangah Dalam.

“Diharapkan sumbangan terbabit sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang dihadapi oleh penduduk kampung yang terjejas pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan menyebabkan majoriti mereka tidak dapat keluar untuk bekerja mencari nafkah.

“Walaupun (PKPB) di tamatkan dibeberapa buah kawasan namun kesannya turut menjejaskan kehidupan masyarakat khususnya di luar bandar.

“Justeru itu, saya mengarahkan semua pegawai saya turun padang untuk mengagihkan bantuan ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Bung yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu turut menggesa agar semua pemimpin masyarakat tempatan untuk melaporkan kepada beliau sekiranya terdapat penduduk kampung yang belum menerima bantuan pek bakul makanan terbabit.

“Kawasan Kinabatangan agak luas dan sedikit sukar untuk kita mengagihkan bantuan ini.

“Walau bagaimanapun, kita telah agihkan pek bakul makanan ini secara berperingkat kerana kita faham semua pihak turut terjejas disebabkan penularan COVID-19 ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *