Hajiji gesa semua wakil rakyat GRS perlu lengkapkan diri dengan maklumat terkini

KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat kerajaan baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu melengkapkan diri dengan maklumat terkini termasuk meningkatkan kefahaman mengenai polisi dan dasar di peringkat negeri serta nasional.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara terbabit amat penting kerana ia bukan saja untuk memberi keyakinan kepada rakyat malah menjadikan seorang ahli politik itu lebih disegani dan berwibawa.

“Dalam era kecanggihan informasi, apa juga perkara yang berlaku akan tersebar dan menjadi tular dengan begitu pantas serta luas.

“Justeru itu, sebagai pemimpin kerajaan, kita perlu sentiasa bersiap-sedia melengkapkan diri dengan maklumat terkini terutama fakta.

“Semua wakil rakyat juga perlu memahami isu yang dibangkitkan sebelum mengambil tindakan atau membuat kenyataan di media rasmi atau sosial,” katanya.

Selain itu, Hajiji turut berkata semua wakil rakyat juga perlu membuat penyampaian dengan jelas dan tepat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Minda rakyat hari ini tidak sama seperti dulu kerana ramai anak bangsa kita memiliki pendidikan dan kemahiran yang melangkaui persada global.

“Rakyat sama ada penyokong atau bukan sentiasa memerhati kita sebagai wakil mereka. Apa yang kita bahaskan dan cara penyampaian serta penampilan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mendapat perhatian media dan menjadi perbualan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Konferen Backbenchers GRS di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Pengerusi Kelab Backbenchers GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan barisan menteri serta pembantu menteri Kabinet Sabah.

Hajiji turut berkata berkomunikasi secara maya juga sudah menjadi kebiasaan baharu dalam semua peringkat masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda masa kini.

“Sudah pasti ini akan menjadi cabaran kepada wakil rakyat yang tidak menguasai kemahiran selari dengan perubahan terkini.

“Pejabat maya (virtual office) dan Small Office and Home Office (SOHO) juga telah semakin penting dan meluas dengan adanya pelbagai aplikasi atas talian yang mempermudah serta mempercepatkan kerja serta komunikasi.

“Oleh itu, saya berharap supaya aktiviti Kelab Backbenchers GRS ini akan terus digiatkan dan menjadi medan percambahan minda, menimba ilmu dan pengalaman demi pembangunan rakyat serta negeri ini,” katanya.

Hajiji turut merakamkan terima kasih kepada pemimpin dan wakil rakyat yang terus bekerjasama membantu rakyat yang terkesan dalam menghadapi pandemik COVID-19 ketika ini.

Mengulas lanjut mengenai program terbabit, Hajiji berkata Konferen terbabit merupakan anjuran Kelab Backbenchers GRS bersama Jabatan Perkhidmatan Negeri Sabah (JPAN) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *