Polis nafi waris Sultan Sulu rekrut rakyat di Sabah

KOTA KINABALU – Polis Sabah mengesahkan tidak wujud kumpulan ataupun gerakan yang dikaitkan dengan waris Sultan Sulu merekrut rakyat di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah memandang serius isu yang tular mengenai dakwaan di media sosial bahawa waris kesultanan Sulu sedang aktif merekrut rakyat di Lahad Datu.

“Hasil siasatan dan risikan PDRM Sabah mengesahkan bahawa tidak wujud kumpulan yang merekrut rakyat warga Filipina berketurunan Sulu di Sabah.

“Bagaimanapun, pihak polis sedang menjalankan siasatan berkaitan kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniyah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

“Kumpulan itu adalah orang perseorangan yang bertindak mengambil kesempatan atas tujuan keuntungan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Idris menegaskan kepada mana-mana pihak atau individu tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Sebelum itu, Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dalam kenyataannya pada Rabu mendakwa waris kesultanan Sulu kini sedang aktif merekrut rakyat di negeri ini khususnya di Lahad Datu.

Setiausahanya, Datuk Hishamuddin Hashim memaklumkan bahawa kegiatan itu disedari oleh sukarelawan MHO di Sabah selepas dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp pada Isnin lalu. -SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *