Cubaan seludup 10.06kg syabu guna kurier gagal

KOTA KINABALU – Taktik menyeludup dadah ke Sabah dengan menggunakan syarikat kurier gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila polis berjaya merampas lebih 10 kilogram syabu di sekitar Penampang dan Tenom, baru-baru ini.

Rampasan dadah bernilai hampir RM400,000 itu dibuat pada 10 dan 13 Mac lalu manakala seorang suspek lelaki berusia 29 serta seorang wanita berusia 28 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Sabah, Asisten Komisioner Lam Thiam Huat berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 12.30 tengah hari pada 10 Mac lalu di hadapan sebuah perumahan di Kapayan.

“Terdapat seorang lelaki warga asing yang dilihat sedang memegang sebuah kotak dan berlaku sedikit pergelutan apabila ternampak kehadiran polis di lokasi.

“Suspek kemudian berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan di dalam kotak mengandungi 6.03 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM240,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Rabu.

Mengulas lanjut, hasil siasatan terhadap suspek pada hari yang sama pihaknya bertindak menyerbu rumah sewa suspek di Penampang.

“Serbuan dibuat pada jam 6.30 petang dan hasil petunjuk daripada suspek, kita berjaya merampas 3.02 kilogram syabu bernilai RM120,000 bersama pasport suspek,” katanya.

Tambah Thiam Huat lagi, suspek kemudian turut mendedahkan ada satu lagi kiriman dadah tiba di Tenom pada 14 Mac. – Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *