Tak boleh karaoke, tiup lilin di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengekang penularan COVID-19, termasuk larangan aktiviti berkaraoke bersama jemputan dan meniup lilin beramai-ramai pada majlis sosial, berkuat kuasa mulai semalam.

SOP yang dikeluarkan susulan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 itu menetapkan semua majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, resepsi, majlis akikah, doa selamat, tahlil, ulang tahun, perayaan, hari kelahiran, ‘reunion’ dan ‘retreat’, adalah dibenarkan tetapi tetamu jemputan tidak boleh terbabit dalam sebarang acara.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun memaklumkan bagi majlis perkahwinan, pertunangan serta resepsi, kehadiran maksimum dibenarkan ialah 150 orang atau 50 peratus kapasiti ruang, mengikut yang mana lebih kecil dan dijalankan dalam tempoh maksimum tiga jam.

“Bagi majlis akikah, doa selamat, tahlil, ulang tahun, perayaan, hari kelahiran, ‘reunion, ‘retreat’ dan lain-lain majlis sosial, kehadiran dibenarkan ialah maksimum 50 orang atau 50 peratus kapasiti ruang, mengikut yang mana lebih kecil dan dijalankan dalam tempoh maksimum dua jam saja.

“Sepanjang majlis sosial diadakan, tetamu tidak boleh dijemput berkaraoke dan tidak boleh meniup lilin beramai-ramai atau mengadakan tarian,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, individu yang menghadiri majlis rasmi atau tidak rasmi anjuran kerajaan dan swasta, perlu menjalani ujian kendiri (saliva) COVID-19 dengan disaksikan penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.

Katanya, kebenaran penganjuran majlis juga tertakluk kepada kehadiran 150 peserta atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut yang mana lebih rendah, di samping pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan tempoh majlis selama dua jam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah juga membenarkan tempoh kuarantin lima hari bagi individu sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19, tanpa perlu menjalani ujian RT PCR pada hari kelima berbanding ditetapkan sebelum ini untuk kuarantin tujuh hari dan pada hari kelapan (kuarantin 10 hari).

“Selain itu, Kerajaan Sabah membenarkan semakan suhu ditiadakan dan alat pengimbas suhu tidak lagi diwajibkan.

“Namun, semakan status pada MySejahtera tetap diwajibkan dan hanya pelanggan berstatus risiko rendah serta kontak dibenarkan memasuki premis. Kad vaksinasi juga masih dibenarkan,” katanya.

Mengenai pengoperasian sekolah pula, Masidi berkata, semua sekolah dan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM, dibenarkan dibuka dengan kemasukan pelajar secara berperingkat.

Beliau berkata, ia tertakluk kepada ketetapan KPM dengan mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sekiranya ada kes positif, pembukaan atau penutupan sekolah rendah dan menengah adalah tertakluk kepada arahan semasa oleh pihak Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS),” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *