SOP diperketat rentetan peningkatan kes Covid-19 di Sabah

KOTA KINABALU: Prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini diperketat terutama bagi acara – acara sosial rentetan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.
Acara sosial seperti perkahwinan, sambutan hari jadi, majlis aqiqah dan sebagainya kini hanya boleh dihadiri maksimum 150 orang atau 50 peratus daripada ruang acara dan tidak boleh berada di sesuatu acara melebihi tiga jam.
Menurut jurucakap rasmi perkembangan harian Covid-19 negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun, aktiviti hiburan seperti karaoke dan tari – menari dalam kalangan tetamu adalah tidak dibenarkan.
Manakala, bagi acara rasmi kerajaan dan swasta, acara sedemikian dibenarkan untuk dilaksanakan namun terhad pada tempoh selama dua jam pelaksanaan.
Bagi aktiviti ibadat, solat berjemaah lima waktu, solat Jumaat serta majlis keagamaan, kehadiran turut dihadkan kepada maksimum 150 orang atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau mengikut mana lebih rendah.
Jumlah jemaah bagi masjid dan surau lain untuk solat lima waktu dan Jumaat dihadkan maksimum 100 orang atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau mengikut mana lebih rendah.
Rumah ibadah bukan Islam pula dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam, tidak melebihi dua jam dan terhad kepada 150 orang atau satu pertiga daripada ruang ibadat.
“Jumlah peserta tertakluk kepada 150 peserta atau 50 peratus kapasiti ruang, yang mana lebih rendah.
“Mereka yang hadir perlu menjalani saringan menggunakan kit ujian diri (air liur), yang perlu disaksikan penganjur atau disahkan oleh pengamal perubatan.
“Setiap orang mesti memakai topeng muka dan mematuhi SOP dengan ketat termasuk penjarakan fizikal,” katanya.
SOP lain termasuklah mewajibkan penyemakan status MySejahtera yang mana mereka yang ‘Risiko Rendah’ dan ‘Casual Close Contact’ sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam premis.
Pengambilan suhu Ketika memasuki premis tidak lagi diwajibkan dan tempoh kuarantin bagi penerima booster telah dikurangkan kepada lima hari.