Program vaksinasi percepat pemulihan ekonomi
KUALA LUMPUR (Berita Harian): Pemulihan ekonomi negara akan dapat dipercepatkan jika majoriti atau lebih 50 peratus penduduk dewasa menerima vaksin menjelang pertengahan tahun ini.
Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata perkara yang paling utama ialah memastikan semua vaksin yang diterima dapat diedarkan secepat mungkin ke setiap Pusat Pemberian Vaksin.
Pada masa sama, tegasnya rakyat perlu memberi kerjasama untuk mendaftar dan membuat temu janji bagi mendapatkan vaksin berkenaan.
“Jika program imunisasi ini berjalan dengan lancar, pemulihan ekonomi akan berlaku seperti yang diharapkan,” katanya kepada BH.
Malaysia menerima penghantaran pertama vaksin semalam diikuti pelaksanaan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan secara berfasa bermula Rabu ini.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman mengingatkan bahawa pemulihan ekonomi tidak hanya semata-mata kepada pelaksanaan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan, sebaliknya turut bergantung kepada persekitaran dan perkembangan politik global.
Beliau berkata, tidak dinafikan bahawa program imunisasi COVID19 akan memberi keyakinan kepada rakyat dan perniagaan untuk kembali menjalani kehidupan dan aktiviti harian seperti biasa.
Namun, katanya, ketidaktentuan pasaran ekonomi dunia seperti harga komoditi, perang tarif dan isu geopolitik akan turut memberi kesan kepada pemulihan ekonomi negara.
“Program vaksinasi antara faktor utama dalam membantu pemulihan ekonomi. Namun, pemulihan ekonomi negara juga bergantung kepada faktor luaran lain,” katanya.
Ahmed Razman berkata, langkah kerajaan menyediakan lebih 605 Pusat Pemberian Vaksin di seluruh negara pastinya akan mempercepatkan proses imunisasi di seluruh Malaysia.
Mengenai lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) sehingga 4 Mac ini, beliau berkata, masih ada ruang untuk pemulihan ekonomi, walaupun dilaksanakan di empat negeri yang menyumbang sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Fasa kedua pemberian vaksin untuk warga tua dan fasa ketiga pemberian vaksin untuk orang dewasa hanya akan bermula pada April dan Mei 2021.
“Jika keluk jangkitan COVID19 dapat dilandaikan dengan lebih cepat menerusi lanjutan PKP ini, ia akan mempercepatkan lagi pemulihan ekonomi, di samping pengedaran vaksin ke seluruh negara,” katanya.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, pula berkata Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan yang diumumkan kerajaan dijangka dapat memberi nafas baharu dalam memulihkan semula ekonomi negara.
Beliau berkata, FMM akan memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya selepas ia dilancarkan mengikut fasa bagi memastikan keberkesanannya.
“Kami mengharapkan pelaksanaan program yang efektif dan cepat. Jadi, sebagai sebuah negara, kita berkemampuan mempercepatkan pemulihan ekonomi sepenuhnya,” katanya. -SUMBER: BERITA HARIAN