Ordinan Darurat penginapan pekerja beri implikasi kepada majikan- MEF

KUALA LUMPUR (Berita Harian): Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan dua peraturan baharu di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) akan memberi implikasi mendalam terhadap majikan di negara ini terutama dari segi kos operasi.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata kos lebih tinggi yang perlu ditanggung majikan dalam aspek penginapan pekerja dikhuatiri akan menjadi beban yang tidak dapat diserap mereka, seterusnya berisiko terpaksa menghentikan operasi perniagaan.

“Di bawah Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021, majikan yang terbabit sudah pasti akan menanggung beban kos kerana pemilik penginapan terpaksa menanggung semua kos pengangkutan dari penginapan asal ke penginapan sementara, pengangkutan pergi balik ke tempat kerja dan penginapan sementara serta kos sewaan penginapan sementara.

“Jika majikan terpaksa menghentikan operasi mereka atas sebab ini, ia akan memberi kesan buruk kepada pasaran buruh yang sememangnya amat lemah ketika ini,” katanya kepada BH.

Khamis lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, memaklumkan kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan menggubal dua peraturan baharu di bawah Akta 446 dalam usaha mengawal penularan wabak COVID19 secara menyeluruh dan berkesan.

Ordinan berkenaan yang turut dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak juga memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk mengeluarkan arahan kepada pemilik penginapan untuk mengganti, mengubah atau membaik penginapan yang tidak mematuhi Akta 446 dengan serta merta dari penginapan yang sesak dan tidak sesuai didiami manusia ke penginapan sementara yang ditetapkan jabatan.

Pemilik penginapan akan menanggung semua kos pengangkutan dari penginapan asal ke penginapan sementara, pengangkutan pergi balik ke tempat kerja dan penginapan sementara serta kos sewaan penginapan sementara.

Jika gagal, pemilik penginapan boleh didenda RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Shamsuddin berkata, majikan di Sabah dan Sarawak pastinya lebih terkesan dengan pelaksanaan ordinan itu dalam tempoh darurat kerana negeri itu tidak mempunyai perundangan mengenai standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja sebelum ini.

“Perkara ini seharusnya perlu dibincangkan terlebih dulu dengan pemegang taruh sebelum perundangan dan peraturan baharu digubal.

“Hasrat JTKSM untuk mengadakan sesi libat urus selepas perundangan diwartakan tidak akan dapat mengubah peruntukan perundangan yang sudah dibuat. Ia akan menjadi lebih kepada penerangan saja,” katanya. -SUMBER: BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *