Apa jadi dengan Sabah dan realiti sebenar: Syed Saddiq dan Fairuz Renddan

Jelas YB Syed Saddiq: Apa jadi dengan Sabah?
Pendaftaran vaksin terendah di Malaysia, kadar pemberian vaksin terendah di Malaysia, penggunaan ICU melebihi kapasiti.
Dan beliau mencadangkan untuk…Whole gov approach (kerajaan + pembangkang), vaccine emergency (pinjam vaksin dari negeri lain) dan suntik dulu, daftar kemudian (Sabah tertinggi PTI).

1) DAN,… Realitinya, negeri Sabah secara amnya adalah mempunyai bentuk geografi fizikal yang unik dan berbeza daripada negeri-negeri lain terutama jika dibandingkan dengan negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk faktor jarak, hutan, kawasan perkampungan yang agak terpencil di pedalaman dan tidak kurang juga yang melibatkan kawasan pulau. Jaringan telekomunikasi juga membataskan kelajuan usaha untuk pendaftaran vaksinasi secara dalam talian.

2) Namun ini bukan penghalang untuk petugas PPV dan KKM serta ahli-ahli DUN bergerak bersama pasukan dan mendapatkan data serta pendaftaran secara manual untuk semua penduduk Sabah, tidak kira dari warganegara Malaysia atau PTI. Mereka yang berumur 18 tahun ke atas juga perlu disuntuik dan di Sabah, banyak PPV kini dibuka untuk masyarakat hadir secara walk-in dan terus menerima vaksin COVID19 mereka. Walau bagaimana pun, terdapat sedikit kekangan untuk mendapatkan PTI dan memberi vaksinasi kepada mereka kerana mereka cenderung untuk bergerak sesuka hati dan usaha berterusan Kerajaan GRS di Sabah, sentiasa berusaha keras demi memastikan semua penduduk di Sabah selesai diberikan vaksinasi sekaligus mencapai perlindungan imuniti kelompok sepantas yang mungkin.

3) Penggunaan ICU melebihi kapasiti. Kerajaan Negeri akan bermesyuarat bersama Menteri Kesihatan pada Isnin depan untuk berusaha mencari penyelesaian bagi isu ini. Hal ini termasuk usaha untuk menambah lebihan kapasiti katil di hospital di Sabah dan perincian untuk permasalah tersebut akan dibincangkan beserta program imunisasi di Sabah. Pihak ATM juga ada mengatakan untuk membantu Sabah dalam usaha menangani COVID19 dan Kerajaan Negeri mengalu-alukan usaha ini.

4) Apa yang dicadangkan oleh YBSS adalah wajar berkaitan whole gov approach dan ini jugalah tujuan kita sebagai kerajaan, untuk bekerjasama di kalangan semua pihak, tanpa melihat perbezaan blok di dewan parlimen atau dewan rakyat, fokus pada masalah mengatasi COVID19 dan memulihkan semula ekonomi rakyat dan negara… Malangnya, seperti apa yang terjadi baru-baru ini, sebelum mantan Perdana Menteri ke-8 kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, beliau telah didesak, ditekan dan diperlekehkan segala usahanya dan tindakan-tindakan yang dilakukan dalam mengatasi COVID19, setelah dewan parlimen dibuka untuk semua ahli-ahli YB Parlimen berbincang mencari penyelesaian, namun apa yang realitinya berlaku? Bukankah ini bukti jelas bahawa pemimpin dari blok sebelah lebih sibuk berpolitik untuk menjatuhkan kerajaan dan TSMY, berbanding membantu kerajaan menyelesaikan masalah pandemik? Mereka cenderung untuk membantutkan segala usaha Kerajaan menangani masalah ini. Kenapa tidak dipersalahkan diri sendiri? Fikir-fikirkan…

5) Tidak pernah sedikit pun usaha untuk negeri Sabah tercinta ini berkurang, bahkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) , dari awal tertubuhnya setelah menerima mandat dari rakyat, sentiasa melihat masalah pandemik COVID19 sebagai keutamaan, selain daripada memperbaiki semula ekonomi dan menjana pendapatan negeri. Kita sedar dugaan yang menimpa seluruh dunia ini adalah amat berat dan tidak pernah sedikitpun terlintas untuk menjalankan kewajipan umpama melepaskan batuk ditangga. Segalanya dilakukan berlipat kali ganda dengan memikirkan dan mempertimbangkan pelbagai sudut. dari segi kepayahan peniaga kecilnya, rakyat yang menderita hilang kerja yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang, pertambahan kes, bantuan-bantuan bakul makanan kepada rakyat, dan banyak lagi. InsyaAllah, selagi bernyawa dan bertahan, saya amat yakin, kerajaan GRS tidak akan pernah memandang sebelah mata masalah ini dan akan terus berjuang demi memerdekakan Sabah dari belenggu COVID19.

YB Fairuz Renddan
Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah merangkap ADUN N8 Pintasan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *