Sebulan tempoh untuk melengkapkan dos vaksinasi di Sabah

KOTA KINABALU : Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan diperketat di negeri Sabah terutama bagi kawasan restoran, dan pasar raya sebagai satu bentuk kesedaran dan pendidikan sosial di negeri itu.

Jurucakap rasmi Covid-19 negeri Sabah,Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menekankan tentang penguatkuasaan oleh kerajaan negeri untuk memastikan dalam tempoh satu bulan, semua pengusaha restoran dan pasar raya menerima suntikan lengkap vaksinasi Covid-19.

“Penguatkuasaan SOP bagi makan di restoran dan pasar raya pada peringkat awal adalah lebih berbentuk pendidikan dan peringatan, bukan untuk tujuan penalti,” jelasnya.

Masidi turut berharap agar tempoh satu bulan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk semua yang terbabit ini memadai dan penguatkuasaan SOP dapat dijalankan setelah semua yang terlibat menerima suntikan lengkap vaksinasi Covid-19.

“Ini akan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat di ruang niaga,” tambahnya.

Masidi juga berkata bahawa inisiatif dan gesaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga tetapi juga kepada para pelanggan serta dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Mereka yang belum divaksin dinasihatkan agar segera mendapatkan suntikan vaksinasi di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdekat,” ingatnya lagi.

Masidi turut mengajak mereka yang terbabit terutama yang berada di sekitar Kota Kinabalu untuk pergi mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 di PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *