Penggiat industri acara merayu kepada kerajaan untuk turut membantu mereka

KOTA KINABALU : Penggiat industri acara di negeri ini merayu kepada kerajaan supaya turut membantu mereka memandangkan mereka turut sama terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengarah Urusan Syarikat SR Events Production, Sharom Abd Ghaffar berkata, sejak PKP pertama, kedua dan PKP yang terkini (3.0), perniagaan yang meliputi perkhidmatan pengurusan acara, sewaan lampu, sistem audio dan skrin tidak mendapat sebarang tempahan ekoran PKP selain akur dan patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bayangkan dalam setahun lalu sehingga kini perniagaan kami tidak menerima tempahan dari mana-mana penganjur dan dalam masa yang sama syarikat terpaksa menanggung gaji pekerja yang kebanyakannya berkeluarga.

“Selain gaji pekerja, syarikat kami juga perlu membayar peralatan yang masih ada pinjaman dengan pihak Bank. Dan situasi ini sudah tentu memberikan kesan yang mendalam kepada mana-mana syarikat yang terlibat dalam perniagaan ini.

“Justeru kami merayu kepada kerajaan supaya membantu penggiat industri seperti kami terutama di Sabah kerana turut terjejas sama ekoran PKP,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Sharom, sejak PKP pertama, kedua dan ketiga golongan yang terlibat dalam industri ini seperti terlepas pandang oleh kerajaan untuk menerima sebarang bantuan atau geran sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan kepada pengiat industri lain seperti sektor dalam pelancongan, pengangkutan pertanian dan lain-lain.

“PKP pertama, kedua mungkin kami masih boleh bertahan tapi PKP ketiga kali ini kebanyakan kami yang terlibat dalam sektor perniagaan ini akan berhadapan dengan masalah yang agak kritikal dan tidak mustahil perniagaan kami akan ‘gulung tikar’, ” katanya.

Sehubungan itu Sharom yang mewakili rakan-rakan lain dalam industri terbabit memohon kepada kerajaan negeri dan persekutuan agar dapat memberikan perhatian terhadap isu tersebut agar tiada pihak yang terlepas pandang daripada menerima sebarang bantuan atau geran yang diumumkan kerajaan.

“Punca pendapatan kami seratus peratus dari sewaan acara-acara yang dianjurkan oleh kerajaan mahupun sektor swasta. Sekiranya tiada tempahan atau permintaan, maka sumber pendapatan kami pun tidak ada.

“Justeru kami merayu agar satu bentuk bantuan dapat diberikan daripada kerajaan bagi membolehkan kami bertahan sehinggalah penularan pandemik COVID -19 dapat ditangani, ” tegas Sharom. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *