Pelajar MRSM kluster baharu di Sabah

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster COVID-19 berkaitan institusi pendidikan diisytiharkan di Sabah hari ini membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster baharu itu membabitkan pelajar asrama MRSM Tun Mustapha, di daerah Tawau.

Beliau berkata, Kluster Jalan Apas Batu Lima itu tercetus selepas seorang pelajar perempuan Tingkatan 5 yang menjadi kes indeks dikesan positif melalui saringan bergejala pada 26 Januari lalu.

“Saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sebilik, rakan sekelas dan rakan karib sudah dibuat dan mendapati seramai 11 orang lagi positif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sehingga kini, kluster itu mencatat sebanyak 12 kes dengan 11 daripadanya dilaporkan pada hari ini.

Masidi berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pelajar lain yang menjadi kontak rapat juga diarah untuk diasingkan walaupun setakat ini saringan tidak menunjukkan mereka dijangkiti.

Dengan pertambahan satu lagi kluster itu, menjadikan sebanyak 13 kluster aktif berkaitan institusi pendidikan di Sabah setakat ini, manakala enam lagi kluster berkaitan tempat kerja.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata secara keseluruhan, jangkitan

COVID-19 di Sabah hari ini melonjak secara mendadak kepada 490 kes.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak 123 kes daripada 367 kes yang direkodkan semalam.

Katanya, daerah Sandakan mencatat kes yang tertinggi hari ini dengan 141 kes, meningkat sebanyak 67 kes berbanding semalam.

“Peningkatan jumlah kes baharu yang banyak di Sandakan dipengaruhi oleh jumlah kes bergejala yang tinggi iaitu 93 kes.

Ini menandakan jangkitan ini sudah menyusup jauh dalam komuniti,” katanya.

Masidi berkata, jumlah keseluruhan kes baharu melalui saringan bergejala di Sabah hari ini adalah antara yang tertinggi pernah direkodkan iaitu 251 kes atau 51.22 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan baharu di Sabah.

Katanya, daerah lain yang mencatat jangkitan baharu yang tinggi ialah Kota Kinabalu dengan (61 kes), Penampang (54 kes) dan Tuaran (50 kes).

Secara keseluruhan katanya, sebanyak 11 daerah merekodkan kes dua angka hari ini, diikuti daerah yang mencatat satu angka juga 11 daerah, manakala empat daerah tidak mencatat sebarang kes baharu.- BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *