Mahu bersaing secara sihat untuk meraih minit permainan bersama Sabah FC

Sasaran mendakap sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) adalah permintaan Tahun Baharu Cina buat penjaga gol Sabah FC, Damien Lim selain mahu bersaing secara sihat untuk meraih minit permainan yang lebih musim ini.

Damien, 24, yang membantu pasukan Negeri Sembilan FC menjulang trofi Liga Perdana pada musim lalu, mengakui sambutan Tahun Baharu Cina atau Tahun Harimau dilihat cukup bermakna apabila diberi cuti rehat selama tiga hari untuk menyambutnya bersama keluarga di kampung halaman di Melaka.

“Sasaran saya untuk tahun ini untuk membantu Sabah menjuarai piala, tidak kisah sama ada Liga Super ke, Piala FA ke atau Piala Malaysia.

“Yang kedua secara peribadi, saya mahu dapatkan lebih banyak minit permainan tetapi ia bukan mudah kerana di depan saya ada penjaga gol berpengalaman dan terbaik iaitu Apek (Khairul Fahmi Che Mat).

“Bukan mudah untuk merampas daripada Apek tetapi saya ambilnya secara positif dan akan tingkatkan permainan saya selepas ini, dan jika diberi peluang saya akan berikan terbaik.

“Terakhir sudah tentu saya mahu mengintai peluang dengan skuad Harimau Malaya dan untuk itu, saya kena dapatkan minit permainan bagi dipilih nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Ditanya mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, dia mengakui sambutan kali ini lebih istimewa kerana dapat berjumpa dan berkumpul dengan keluarga tersayang selepas tahun lalu tidak dapat bersama ekoran menjalani latihan bersama pasukan.

“Tahun lalu saya tak sempat sambut kerana jadual latihan yang cukup padat. Tapi tahun ini kelab (Sabah FC) beri cuti tiga hari dan saya terus pulang ke Melaka untuk bersama keluarga.

sumber : arena metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *