Jangkitan COVID-19 di Sabah turun, bawah 2,000 kes

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan jangkitan baharu COVID-19 dengan pengurangan sebanyak 353 kes kepada 1,778 kes semalam berbanding 2,131 kes yang dilaporkan kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu adalah yang pertama di bawah 2,000 kes selepas kenaikan mendadak jangkitan hingga pernah mencecah lebih 5,000 kes bermula bulan lalu.

“Kes hari ini (semalam) mencatat penurunan agak banyak menjadikan kes baharu di Sabah berada di bawah 2,000 berbanding hampir setiap hari melebihi angka itu sejak bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Kota Kinabalu masih menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah dengan sebanyak 511 kes semalam, turun 166 kes berbanding 677 kes kelmarin.

Katanya, kes daftar lewat di daerah ini yang banyak mempengaruhi jumlah kes harian sebelum ini juga berkurangan dengan hanya 71 kes tertangguh melebihi lima hari dilaporkan semalam.

“Secara keseluruhan, ada tanda-tanda ke arah penstabilan jumlah kes harian. Sebagai perbandingan 17 daerah mencatat penurunan jumlah kes baharu berbanding lapan daerah yang merekodkan pertambahan.

“Hanya tiga daerah mencatatkan kes baharu pada kadar tiga angka iaitu Kota Kinabalu sebanyak 511 kes, diikuti Penampang (206 kes) dan Tuaran (168 kes).

“Sebanyak 21 daerah mencatat kes baharu dua angka dan tiga daerah lain masing-masing merekodkan kes baharu satu angka,” katanya.

Katanya, kes kematian akibat COVID-19 turut menunjukkan penurunan dengan hanya tujuh kes iaitu masing-masing satu kes di Tuaran, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan, Kota Belud, Tawau dan Beaufort berbanding 15 kes dilaporkan kelmarin.

Bilangan pesakit sembuh juga katanya, tinggi dengan seramai 3,325 orang semalam, manakala baki masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan

Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) seramai 1,460 orang termasuk 57 orang memerlukan penjagaan kritikal.

Sementara itu, Masidi berkata, penstabilan dan penurunan kes baharu banyak bergantung kepada sikap masyarakat dalam mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Peratusan kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik dalam komuniti masih terlalu tingggi, iaitu 65.47 peratus pada hari ini (semalam).

“Peratusan tinggi jangkitan sporadik adalah punca utama penularan virus dengan cepat dan meluas. Mengikut statistik hari ini (semalam), kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik adalah penyumbang utama kes baharu di 23 daripada 27 daerah di Sabah,” katanya.

Katanya, sebanyak 1,745 atau 98.14 peratus daripada 1,778 kes baharu semalam berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti 11 pesakit dalam Kategori 3, manakala 13 orang dalam Kategori 4 dan sembilan orang dalam Kategori 5. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *