Biar Hajiji umum barisan hadapan kepimpinan GRS: Maximus

KOTA KINABALU – Proses pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang dilakukan dan senarai barisan hadapan kepimpinan akan diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas gabungan itu berjaya didaftarkan.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memaklumkan, perkara itu dibincangkan secara dalaman antara parti komponen dalam GRS

“Saya fikir Datuk Seri Hajiji akan umumkan setelah ia didaftarkan, saya dengar ia sudah dihantar (untuk pendaftaran).

“Perkara itu sudah dibincangkan secara dalaman antara kami dan biarlah beliau umumkan barisan hadapan kepimpinan GRS,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-37 PBS di Dewan Hakka, Likas, di sini, pada malam Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung usaha GRS didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PBS akan terus menyokong penuh GRS namun dalam masa sama mengambil pendirian supaya tidak tergesa-gesa untuk menerima parti baharu dalam gabungan itu.

“Kunci utamanya adalah perkukuhkan barisan hadapan dan rakan kongsi sedia ada. Jangan buang masa untuk mendapatkan rakan baharu yang tidak diketahui,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Peter Anthony menerusi parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang baru ditubuhkannya berhasrat untuk menyertai GRS selepas ia didaftarkan. – Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *