Timbalan Ketua Menteri gesa pengguna jalan raya di Sabah hati-hati, guna jalan alternatif lebih selamat

KOTA KINABALU: Semua pengguna jalan raya di negeri ini digesa agar sentiasa berhati-hati memandu berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan sebahagian jalan di negeri ini ditenggelami banjir dan sebahagian jalan pula runtuh.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kebanyakan jalan yang runtuh ialah di kawasan bukit tidak boleh dilalui kenderaan seperti yang berlaku di jalan Kota Kinabalu-Tambunan dan Kampung Tudan Penampang.

“Selain itu, jalan lain yang runtuh dan mengalami keretakan ialah jalan Maang Penampang menuju ke Lokawi.

“Kita telah meminta pihak JKR dan juga syarikat konsesi yang menyelanggara jalan tersebut memantau serta memasang papan tanda amaran demi keselamatan para pengguna jalanraya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bung yang juga merupakan Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian bagi mengulas beberapa kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat berterusan menjadi faktor utama runtuhan tersebut berlaku.

Sehubungan dengan itu, Bung meminta pengguna agar menggunakan jalan aternatif lain bagi menjamin keselamatan mereka sampai ke distenasi yang dituju.

“Pengguna jalanraya perlu sentiasa mendapatkan maklumat dari JKR dan saya juga beterima kasih kepada orang awam yang memuat naik isu ini di media sosial dan menerusi aplikasi WhatAspp yang dihantar terus kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Bung turut berkata jalan-jalan runtuh terbabit masih dalam jagaan konsesi syarikat yang menyelanggara jalan berkaitan sementara kajian dan reka bentuk akan dibuat segera bagi memperbaikinya.

Mengulas isu keretakan jejambat di Luyang (jalan menuju ke Bukit Padang) pula, Bung bekata jurutera perunding telah dimaklumkan mengenai perkara ini dimana pihak JKR kini menunggu keputusan daripada mereka untuk mengambil tindakan susulan.

“Untuk sementara ini, pihak JKR akan menampal simen di tempat yang retak dan dalam masa yang sama, Pengarah JKR akan mengadakan mesyuarat teknikal sebaik sahaja laporan diperolehi,” katanya

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *