20,000 orang usahawan Sabah dapat manfaat bantuan ‘one-off’ RM1,000
KOTA KINABALU: Seramai 20,000 usahawan di seluruh Sabah telah mendapat manfaat bantuan ‘one-off’ RM1,000 sebagai satu langkah bagi meringankan beban golongan terbabit.
Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata pihaknya menyedari ramai usahawan terutamanya usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini yang terjejas terutamanya dari segi kewangan ketika pandemik COVID-19 ini.
Katanya, selain bantuan kewangan ‘one-off’, pihaknya juga menyediakan bantuan dalam pelbagai bentuk selain merangka beberapa langkah bagi membantu usahawan tempatan Sabah.
“Kerajaan negeri juga telah menyediakan bantuan kepada usahawan IKS melalui program Bantuan Usahawan Industri Kecil san Sederhana (BAIKS) dan setakat ini seramai 1,070 usahawan telah mendapat manfaat daripada program ini
“Bantuan ini merupakan geran pembelian mesin dan kelengkapan serta pembungkusan produk kepada usahawan. Setakat ini sebanyak RM10 juta telah dibelanjakan untuk membantu usahawan memajukan perniagaan mereka.
“Kerajaan negeri juga tidak melupakan usahawan mikro dan kotej dengan menyediakan bantuan berbentuk kewangan secara โone-offโ RM 1,000 untuk meringankan beban aliran kewangan kepada usahawan dalam kategori ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Jaujan Sambakong (WARISAN-Sulabayan) ketika berbahas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Joachim turut berkata pihaknyaa juga turut membantu usahaqan dengan menyediakan platform pemasaran digital.
“Kementerian saya telah melancarkan platform e-dagang untuk memasarkan produk IKS melalui platform dalam talian yang dinamakan Gobiz dan telah dapat membantu meningkatkan pemasaran produk kepada lebih 155 usahawan IKS Sabah.
“Selain itu, kita juga mewujudkan Pusat Produk IKS yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan untuk kemudahan usahawan IKS Sabah.
“Setakat ini Pusat Produk IKS ini mempunyai lebih daripada 1,000 jenis produk IKS yang boleh dijual. Bagi memperluaskan lagi program ini, kementerian saya bercadang untuk membuka kedai ini di beberapa daerah utama pada tahun hadapan,” katanya.
Joachim yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri itu juga berkata bagi membantu usahawan, pihaknya juga melaksanakan inisiatif dengan mengadakan kolaborasi dengan Pasaraya Bataras bagi memasarkan produk usahawan.
Selain itu, kolaborasi dengan SIRIM Berhad juga dilaksanakan pihaknya melalui program Fraunhofer untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat IKS di Sabah.
“Di bawah program ini, kerajaan menyediakan geran berjumlah RM250 ribu kepada setiap syarikat IKS yang layak untuk menerima pembiayaan peningkatan-teknologi melalui automasi dan inovasi.
“Pada tahun ini, sejumlah 25 buah syarikat telah menerima bantuan di bawah program ini,” katanya.
Sementara itu, beliau juga berkata juga menganjutkan beberapa kursus dan latihan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para usahawan Sabah.
Tamat