Ucapan Muhyiddin yang paling “jujur dan berterus terang”

PERUTUSAN Perdana Menteri petang Jumaat (13 Ogos) ini lain daripada yang lain.

Ia mempunyai isi. Saya tidak mengantuk. Sama ada kita suka atau benci sebenci-benci dengan beliau, banyak kejujuran yang cuba diucapkan. Ia juga seolah-olah seperti sebuah manifesto yang perlu kita perhatikan.

Muhyiddin Yassin seperti menyatakan sesuatu bahawa “bersabarlah semua, jom kita berpakat selesaikan isu Covid yang sudah pun di penghujung dan selepas itu kita lawan dalam pilihan raya”.

Bagi saya ia adalah satu perutusan yang terbaik oleh beliau setakat ini. Kalau tak baik, saya kata tak baik. Baca dan fahami ucapan itu.

[Namun, terus terang saya ingin mengatakan bahawa lebih molek jika ucapan Muhyiddin itu dibuat tahun lepas, atau beberapa bulan yang lalu.]

Sekiranya, Anwar Ibrahim menjadi PM sekali pun suasananya mungkin sama seperti yang ditanggung oleh Muhyiddin. Mungkin sedikit baik, atau mungkin lebih teruk — maka ucapan Muhyiddin itu dilihat cukup berterus terang.

Muhyiddin juga manusia seperti Anwar, Najib Tun Razak, Lim Kit Siang mahupun Zahid Hamidi. Kita kena terima
hakikat, politik Malaysia bukannya matang, adu-domba berlaku saban masa. Sesiapa yang memerintah pun akan menghadapi masalah yang sama.

Rakyat sedang melihat apa yang berlaku di hadapan mata mereka. Oleh itu, marilah kita semua bersabar. Biarlah kerajaan yang ada ini menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu.

Kita semua sedang menghadapi pendemik yang amat menakutkan. Dengan varian Delta ini, ia lebih mengerikan. Kita serahlah kepada kerajaan semasa ini menyelesaikan tragedi kesihatan ini, tanpa diganggu-gugat oleh politik kepartian yang tidak menentu.

Saya sendiri sebagai rakyat marhain juga sedang berhempas-pulas menyelesaikan isu kesihatan ini. Ibu saudara saya yang sedang positif Covid dihantar ke hospital sejauh 50 kilometer di Kulim, anaknya di hospital Alor Star dan menantunya di Sungai Petani — sedangkan mereka dari sebuah keluarga di Jitra.

Dalam saat-saat ini bukan keluarga saya sahaja yang sedang menderitai, semua kita seluruh negara — termasuk yang menerima berita kematian ibu, bapa, anak, atau rakan taulan setiap hari.

Malangnya, orang politik masih tidak sedar diri dan terus menghentam kerajaan ini, seolah-olah mereka sahaja yang serba tahu.

Muhyiddin petang Jumaat ini masih menekankan mengenai konsep kerjasama antara parti politik secara bipartisan. “I strongly believe, we will heal this nation together and bring back its glory.” Katanya, saya penuh yakin, kita akan pulihkan negara ini secara bersama dan kembalikan kegemilangannya”.

Saya belum pernah melihat Muhyiddin merayu kepada semua pihak dalam saat-saat seperti genting ini. Sebagai orang yang melihat pelbagai konflik politik di negara ini, saya merasakan ucapan Muhyiddin ini bukan untuk menagih simpati bagi menyelamatkan nyawa politiknya, tetapi lebih kepada soal negara dan rakyat.

Katanya “saya berasa agak sedih dan dukacita dengan perkembangan politik yang sedang berlaku mutakhir ini. Hari ini, di hadapan saudara dan saudari semua, saya ingin bercakap secara jujur dan berterus terang.”

“Sebagai seorang manusia, saya tentunya tidak terhindar daripada kelemahan dan kekurangan. Apa lagi dalam keadaan saya sebagai Perdana Menteri yang memikul suatu tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik yang luar biasa ini sejak lebih setahun yang lalu.”

Jelas beliau lagi: “Pastinya, saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakan- rakan saya dalam kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan, frontliners dan rakyat seluruhnya untuk membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab membawa negara ini keluar daripada krisis.

“Tidak kurang pentingnya ialah sokongan rakan-rakan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional yang mana dengan sokongan merekalah saya berada di sini pada hari ini. Keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

“Namun, malangnya dalam keadaan saya dan rakan-rakan dalam kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan kepada saya. Ini menimbulkan keraguan tentang keabsahan saya sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah.

“Dalam keadaan ini, saya mempunyai dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan. Saya boleh memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya atau meletak jawatan.

“Pilihan saya yang paling mudah ialah meletak jawatan. Jika saya mengambil keputusan ini, maka selesailah urusan saya dan terserahlah kepada kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang baharu. Menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku boleh melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan yang terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku.”

Namun adakah jika beliau meletak jawatan sekarang masalah akan selesai sekelip mata? Adakah Anwar boleh menyelesaikan masalah Covid ini dalam masa 24 jam selepas beliau mengangkat sumpah?

Tujuan Muhyiddin ialah supaya kerajaan yang ada ini terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bipartisan di Parlimen. Bipartisan bermaksud dua parti politik yang membangkang antara satu sama lain, duduk berbaik (buat seketika), bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dan negara.

Inilah masanya semua ahli Parlimen berganding bahu menyelesaikan pendemik ini dahulu sebelum sepak-terajang politik bagi menghadapi pilihan raya bermula.

Sebagai rakyat, kita semua pastinya sedang memerhati perangai buruk ahli-ahli politik. Terus terang, kita semua sudah letih, jelak dan muak.

Biarlah Muhyiddin dan jemaah menterinya menyesaikan masalah ini dahulu.

Malah, ucapan itu juga seperti manifesto, yang antara janjinya “saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera.”

Kerajaan juga, kata Muhyiddin telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini.

“Saya berharap, dengan adanya kerjasama bipartisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan.”

Akhir sekali, Muhyiddin berjanji bahawa “saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa.”

Dalam keadaan ini, katanya, wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa pilihanraya umum ke lima belas akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan.”

Seperti yang saya katakan, inilah pertama kali saya melihat ucapan Muhyiddin itu cukup jujur dan berterus terang.

Oleh itu, sudah-sudahlah wahai Anwar, Zahid dan lain-lain yang cuba menangguk di air keruh. Bersabar dahulu. Kepentingan nyawa rakyat mengatasi nafsu-serapah politik anda semua.

Hentikan dahulu politik picisan dan murahan.

— BebasNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *